‘Mana janji sebelum PRU 13 kurangkan kadar tol?’
Ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menempelak kerajaan BN kerana sanggup menaikkan kadar tol setinggi 17% – 80%.
Menurut Mahfuz kerajaan BN telah memungkiri janji mereka sebelum pilihan raya umum ke 13 lalu untuk mengurangkan kadar tol antara bandar bagi menarik pengundi bandar dan sub bandar pengundi pemerintah.
“Persoalannya, ke mana perginya janji Kerajaan yang berikrar menjelang PRU13 lepas untuk mengurangkan tol antara bandar? Ke mana hilangnya janji Kerajaan yang hendak runding semula perjanjian dengan syarikat konsesi tol? Kenapa dibiarkan perjanjian yang bersifat pro syarikat dan tidak pro pengguna? Apakah jika tidak dinaikkan tol dan tidak dibayar pampasan, syarikat konsesi akan bankrap?
“Kerajaan memberi alasan adalah lebih baik wang pampasan diguna untuk pembangunan yang lain untuk membina hospital dan sekolah. Sedangkan sebelum ini, PM menyatakan dengan GST kerajaan boleh membina hospital, sekolah dan jalanraya.
“Kini Menteri Kerjaraya pula berkata dengan kenaikan tol, Kerajaan boleh bina hospital dan sekolah. Jadi, adakah kerajaan hanya mampu membina sekolah dan hospital dengan syarat menaikan tol dan kenakan cukai GST ke atas rakyat? Kerajaan apakah yang selemah ini?” katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz menggesa kerajaan BN berhenti memperbodohkan rakyat. Sebaliknya, beliau mencadangkan, belanjawan negara pada Oktober ini perlu dibentangkan dengan kenaikan gaji kakitangan awam beserta peruntukan khas bayaran elaun tol bagi kakitangan awam di Lembah Klang bagi meringankan beban golongan pekerja yang terkepung pergerakan mereka dengan lebuh raya bertol.