Dilema kerajaan: Antara pembaharuan dengan kepentingan


Neo Chee Hua

"Dilema kerajaan" berasal dari beberapa kontradiksi. Pertama, berlakunya konflik antara pembaharuan ekonomi dan kepentingan rent-seeker (perentir). Setelah mempertimbangkan kepentingan, keperluan kroni akan dipenuhi, namun pada masa yang sama momentum pembaharuan pula dikurangkan. Keadaan ini akan menjurus kepada satu senario di mana kroni pemerintah sentiasa mempengaruhi dasar kerajaan, dan pembaharuan gagal membawa kesan yang terserlah untuk selama-lamanya.

Misalnya, dari zaman Abdullah Ahmad Badawi hinggalah Najib Razak, kerajaan Barisan Nasional sering menekankan penyelewengan yang berlaku dalam perolehan dan pembahagian kontrak dalam sektor awam. Namun, setiap tahun Laporan Ketua Audit mendedahkan kes demi kes penyelewengan yang memperlihatkan bagaimana kroni mempergunakan saluran perolehan dan pembahagian kontrak sebagai saluran untuk memenuhi nafsu mengaut kekayaan diri. Skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang terdedah baru-baru ini, melibatkan suami kepada Menteri Kabinet merangkap Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil, adalah contoh yang klasik.

Keduanya, kontradiksi antara dasar pembaharuan kerajaan dengan dasar perlindungan. Antara pembaharuan yang disasarkan oleh dasar pembaharuan adalah dasar perlindungan yang pelbagai - kuota perkauman, dasar perlindungan dalam sektor strategik atau sensitif, dasar perlindungan korporat GLC dan kroni, dasar peruntukan subsidi, halangan tarif atau bukan tarif dan sebagainya.

Untuk golongan tertentu, perentir, kroni, malah GLC yang selama ini dilindungi, pemansuhan dasar perlindungan tidak lain tidak bukan memutuskan sumber kekayaan mereka, dan kelebihan mereka dalam persaingan. Maka individu mahupun korporat yang hilang daya saing di bawah payung perlindungan akan tersingkir dalam persaingan pasaran bebas. Justeru itu, dasar pembaharuan sering terikat langkahnya oleh kuasa konservatif, dan tidak akan ke mana.

Misalnya, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang bertanggungjawab merangka Model Ekonomi Baru (NEM) mencadangkan agar dasar afirmatif perkauman digantikan dengan dasar afirmatif untuk golongan berpendapatan 40% terendah, pada laporan NEM peringkat pertama. Pada masa yang sama, penubuhan Equal Opportunities Committee dicadangkan untuk memastikan semua orang mendapat peluang yang sama.

Bagaimanapun, setelah didesak PERKASA, kerajaan Najib akhirnya tunduk kepada golongan konservatif - bukan sahaja menggugurkan cadangan pembaharuan tersebut dalam bahagian kesimpulan NEM, malah menyokong sepenuh dasar afirmatif bumiputera, menubuhkan TERAJU dan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera untuk membela hak dan kepentingan bumiputera.

Ketiganya, terdapat situasi saling berkonflik antara dasar perlindungan. Apabila satu dasar perlindungan terikat dengan satu atau lebih dasar perlindungan, maka sebarang tindakan pembaharuan akan menjurus kepada fenomena domino (Domino Effect).

Ringkasnya, seandainya kepentingan seseorang yang memperolehi kepentingan di bawah dasar perlindungan terjejas, maka ia akan mengheret pihak yang lain kerana hubungannya dengan dasar perlindungan yang lain. Maka mereka akan menanggung bersama kerugian itu, malah memindahkan kerugian itu kepada pihak yang lain.

Dalam hal ini, sektor kuasa elektrik dan lebuhraya adalah contoh yang paling baik. Di bawah dasar perlindungan kerajaan, harga elekrik dan tol lebuhraya adalah di bawah kawalan kerajaan. Sebarang kenaikan memerlukan kelulusan kerajaan. Niat asalnya adalah untuk menjamin kepentingan rakyat. Namun, untuk menjaga kepentingan ekonomi kroni dan GLC, kerajaan meluluskan pula perjanjian yang tidak adil dengan syarikat konsesi, untuk menjamin keuntungan IPP dan syarikat konsesi lebuhraya.

Sebagai kesudahannya, apabila elektrik dan lebuh raya di ambang kenaikan harga, kerajaan perlu memberi pampasan untuk kerugian syarikat korporat milikan kroni, agar harga tidak dinaikkan dalam jangka pendek. Apabila kerajaan gagal menanggung tekanan itu, maka beban kenaikan harga dialihkan ke bahu rakyatnya.

Keempat, kontradiksi antara tekad pembaharuan politik dengan kepentingan politik. Dalam satu sistem politik di mana politik perkauman saling bersangkut-paut dengan kepentingan rent-seeking, tindakan pembaharuan kerajaan sering bercanggah dengan kepentingan politik. Ini kerana langkah pembaharuan bakal mengancam kepentingan ekonomi rent-seeker.

Rent-seeker ini bukan sahaja sumber dana politik yang penting, malah mempunyai pengaruh yang mustahak terhadap pola pengundian. Rent-seeker ini sering menggunakan politik perkauman, mempertahankan kepentingan ekonomi sendiri dengan modal politik dalam genggaman - pada masa yang sama menghakis tekad kerajaan untuk membawa pembaharuan.