Tiga Menteri Pertanian Didakwa Sangkut Projek NFC





SHAH ALAM, 14 DIS : Projek bermasalah National Feedlot Corporation terus dihantui kontroversi.

Terbaru, Gerakan Jingga 13 telah mengesa Suruhan Jaya Pencegah Rasuah agar menyiasat bagaimana wang rakyat disalurkan kepada projek tersebut sebelum perjanjian dibuat antara syarikat itu dan kerajaan pusat.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa sejumlah wang didebitkan ke satu akaun khas sejak 2008 hingga 2009 iaitu sebelum perjanjian antara Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan NFC ditandatangani pada 2010.

Menurut Fariz, pendedahan ini dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid yang turut memberitahu bahawa kerajaan pusat gagal menjawab persoalan bagaimana wang dikeluarkan sebelum perjanjian dilakukan.

Sehubungan itu, pagi ini, Jingga 13 bertindak membuat laporan ke Pejabat SPRM di sini berkenaan salah guna kuasa bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin (2004-2008), Datuk Mustafa Mohamed (2008-2009) dan menteri yang bertanggungjawab sekarang, Datuk Seri Noh Omar.

"Jesteru kami memohon kehadiran kami pada hari ini adalah untuk membuat laporan kepada SPRM agar melakukan satu siasatan terperinci terhadap mereka yang terlibat termasuk bagaimana penyaluran wang rakyat yang besar tersebut dilakukan.

"Bagi kami ini adalah penyelewengan yang nyata dan jelas oleh pihak kementerian kerana sebarang kelulusan pengaliran wang sememangnya perlu mendapat kelulusan kementerian berkaitan," ujar Fariz.

Menurut Fariz lagi, siasatan yang dibuat oleh PAC adalah bukti nyata terhadap salah guna kuasa oleh menteri berkaitan. Oleh itu ujarnya, keadilan perlu ditegakkan dan hukuman setimpal harus dikenakan ke atas salah laku ini kerana melibatkan wang rakyat.

Selain itu, Fariz juga turut membangkitkan persoalan istimewanya skandal NFC ini apabila dengan mudah dapat peruntukan wang yang besar sebelum perjanjian dimeterai. Ia lebih istimewa sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap mereka yang berkaitan.

"Kami melihat ini sebagai satu tindakan yang luar biasa dilakukan oleh kerajaan Umno dan Barisan Nasional serta kami yakin dan percaya banyak persoalan yang timbul dengan penglibatan yang jelas oleh Datuk Seri Shahrizat Jalil selaku menteri kabinet dan juga Ketua Wanita Umno," tegas Fariz.