AS, PKR, kariah tidak terlibat demonstrasi esok

.
Mohd Sabri Said

JELUTONG, 8 Julai: PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta kariah Masjid Jamek Jelutong tidak terlibat dalam penganjuran demonstrasi aman yang dijangka diadakan di hadapan masjid berkenaan selepas solat Jumaat esok, 9 Julai.

Timbalan Yang Dipertua PAS Jelutong, Mohd Yusoff Mohd Noor berkata, bagi menghalang program badan bukan kerajaan (NGO) tertentu itu, pihaknya telah membuat lapuran polis di Balai Polis Jelutong petang semalam.

"PAS, PKR dan pihak Masjid Jelutong tidak membabitkan diri dengan NGO tertentu yang cuba menimbulkan kekacauan sebaliknya kami telah pun mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Pokok Asam yang dikatakan akan dibangunkan dengan pembangunan mewah tidak lama lagi," katanya.

Pada 7 Julai, tambahnya Masjid Jamek Jelutong telah mengadakan perbincangan awal dengan penduduk terbabit cara mana yang boleh dipakai, bukan dengan berdemonstrasi yang bakal mengundang padah atau bimbang dipergunakan oleh Umno.

Justeru itu, beliau dan juga pimpinan PKR Jelutong tidak akan bertanggungjawab kepada mana-mana individu yang cuba membangkitkan isu perkampungan Pokok Asam yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.

Yusoff yang juga Pengerusi Kariah Jamek Jelutong berharap sesiapa yang berhajat datang ke masjid berkenaan membetulkan niat untuk menunaikan solat fardu Jumaat, bukan berdemonstrasi kononnya mempertahankan Kampung Pokok Asam yang sedang dalam projek pembangunan sebelum pengambilalihan kerajaan pada pilihan raya umum ke-12 lalu.

"Kemusnahan perkampungan Melayu Jelutong disebabkan kebongkakan kepimpinan Umno Bahagian Jelutong yang tidak langsung membela nasib penduduk sejak awal. Mereka dilihat lebih berminat membina kekayaan hasil pembangunan yang dibuat tanpa membela nasib rakyat yang menderita," tambahnya kesal.

Sejak dua hari lepas, masyarakat Melayu Jelutong menerima penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menggesa semua orang Islam berkumpul di masjid berkenaan untuk tujuan itu.

No comments: