Keterangan bersumpah bekas
pengurus kewangan Goldman Sachs, Tim Leissner yang terlibat dalam skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB) di New York beberapa hari ini memberi imej
buruk kepada pihak berkuasa kewangan Malaysia.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Amwar Ibrahim berkata, perbicaraan salah laku rasuah di peringkat antarabangsa
itu dan ketiadaan perubahan meyakinkan di pihak pentadbiran kewangan Malaysia telah
menyulitkan usaha menarik pelaburan langsung asing ke negara ini.
"Saya telah bangkitkan
keprihatinan kita tentang pembabitan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam 1MDB. BNM
telah beri jaminan prosedur yang ketat dipatuhi dan apa sahaja keterangan
diperolehi mereka disampaikan ke badan penguatkuasa.
"Namun saya percaya
kecuaian ini (pemindahan berbilion dana dari Malaysia keluar negara) telah
menghakis keyakinan dan tuduhan dilemparkan ini memberi imej yang buruk kepada
negara dan rakyat.
"Kita perlu BNM yang
mengekalkan integriti yang kukuh. Tetapi keterangan Leissner di AS menunjukkan
suatu muslihat jaringan penipuan, jenayah, seks yang menyebabkan skandal 1MDB
itu berterusan bertahun tahun," katanya.
Menurut Anwar, keterangan
Leissner itu juga menunjukan bahawa Goldman Sachs turut terlibat dalam beberapa
pelakuan yang mengejutkan walaupun selama ini kerajaan Malaysia menyatakan
mereka telah menyelesaikan isu korupsi itu dengan ganti rugi dari firma kewangan
antarabangsa tersebut sejak 2020.
Tegas Ahli Parlimen Port
Dickson itu lagi, isu 1MDB yang beliau lontarkan pada 2010 setelah 12 tahun
masih menghantuhi negara dan memberikan dampak ekonomi yang amat buruk
Oleh itu, katanya, tidak banyak
jalan boleh diambil Malaysia selain membersihkan skandal berkenaan dengan
membahaskannya di parlimen dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap
para perasuah yang berada di negara ini.
"Badan penguatkuasa
keseluruhannya perlu mempunyai tekad yang lebih tegas dan membawa yang bersalah
kepada proses hukum. Tidak boleh ambil tindakan dalam kes kecil atau sederhana
sahaja.
"Sekarang dunia tak baca
isu lain melainkan skandal rasuah yang jelek dalam negara kita.
"Kita perlu ada pimpinan
berwibawa menentang rasuah. Kelompok kaya ini ada kekuatan pengaruhi media,
tokoh politik agar lunak terhadap mereka.
"Sebab itu minggu hadapan
saya akan mendesak Speaker untuk memberi ruang kepada Ahli Parlimen bahas kes
1MDB, juga yang terkait SPRM dan polis," katanyanya.
Tambah Anwar, skandal 1MDB
tersebut telah terlalu lama membelit sistem kewangan negara.
Sejak itu, katanya pelbagai
tindakan jahat telah dilakukan terhadapnya untuk menghalang pendedahan lanjut
namun hari ini terbukti skandal tersebut semakin memburukkan nama Malaysia di
mata dunia.