Hazimy Al Jauhari
Saya tertarik melihat perkembangan politik mutakhir ini.
Terbaharu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyamakan kewajipan ahli PAS mengundi calon BN dan PN dengan kewajipan mengambil wuduk sebelum menunaikan solat.
Hujahnya, sesuatu yang asalnya tidak wajib boleh menjadi wajib apabila menjadi syarat untuk menyempurnakan perkara yang wajib. Dalam konteks ini, perpaduan dan usaha mendapatkan kuasa politik Islam dikaitkan dengan kewajipan mengundi.
Tetapi, ada satu perkara yang menarik untuk kita renungkan.
Pada 17 Januari 2023, beliau pernah menerbitkan tulisan bertajuk Apabila Penipu, Pencuri dan Perompak Bersatu. Tulisan itu muncul ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan PH dan BN menjadi polemik politik.
Hari ini, BN yang sama boleh pula menjadi rakan kerjasama yang perlu disokong oleh ahli PAS. Malah, kewajipan mengundi calon BN dan PN diberikan analogi seperti wuduk sebelum solat.
Jadi, bagaimana kita hendak memahami perubahan pendirian ini?
Adakah sesuatu kerjasama politik itu salah apabila melibatkan pihak yang kita tentang, tetapi menjadi satu tuntutan agama apabila melibatkan pihak yang kita mahu bekerjasama?
Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana parti untuk membina kerjasama politik. Dalam demokrasi, parti boleh berubah pendirian, membentuk gabungan dan membuat kompromi demi kepentingan tertentu.
Tetapi jangan sampai kompromi politik diberikan taraf seolah-olah ia hukum ibadah yang wajib dipatuhi tanpa ruang pertimbangan.
Wuduk mempunyai asas hukum yang jelas sebagai syarat sah solat. Mengundi pula ialah amanah demokrasi yang perlu dilaksanakan dengan pertimbangan terhadap calon, integriti, keupayaan dan kepentingan rakyat.
Islam itu jauh lebih besar daripada mana-mana parti politik. Jangan sempitkan agama sehingga seolah-olah hanya satu kelompok sahaja yang berhak mewakilinya.
Berpolitiklah dengan prinsip. Berhujahlah dengan ilmu. Berbeza pendapatlah dengan adab.
Jangan sampai kita terlalu ghairah memenangkan politik sehingga agama pula dijadikan alat yang ditunggang untuk menghalalkan setiap perubahan pendirian. Politik itu medan khidmat, bukannya agama itu alat untuk mendapatkan kuasa.
Warga Melaka, selamat memilih.
Ittaqullah.
Berlaku adillah, sesungguhnya adil itu lebih dekat dengan Taqwa.
DR
#Hadi
#AkuKasihMalaysia
#PendidikanKewarganegaraan
#PENAmadani
#MelakaMemilih2026





No comments:
Post a Comment