Muhamad Mat Yakim
Apabila saya menyebut mengenai satu spesies haiwan daripada keluarga lembu liar, iaitu banteng, yang pernah hidup di kawasan hutan Simpan Ulu Muda termasuk di sekitar Mong Gajah, ada beberapa orang yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai haiwan tersebut.
Ya, banteng bukan seladang. Walaupun kedua-duanya daripada keluarga lembu liar (Bovidae) dan tergolong dalam genus Bos, kedua-duanya merupakan spesies yang berbeza.
Banteng mempunyai nama saintifik Bos javanicus, manakala seladang dikenali sebagai Bos gaurus.
Sama seperti seladang, banteng merupakan haiwan liar yang menghuni hutan tropika di Asia Tenggara. Di Kedah dan Perlis, spesies ini memang pernah wujud. Malangnya, kini ia sudah tidak lagi terdapat di negeri-negeri tersebut.
Bukan sahaja di Kedah dan Perlis, malah banteng juga dipercayai telah pupus di seluruh Semenanjung Malaysia.
Baki banteng yang masih hidup di Malaysia kini hanya terdapat di Sabah. Berdasarkan kenyataan Jabatan Hidupan Liar Sabah pada 29 Oktober 2024, dianggarkan hanya sekitar 500 ekor banteng Borneo masih hidup di negeri itu.
Banteng kini dikategorikan sebagai spesies Critically Endangered (Kritikal Terancam) dalam Senarai Merah IUCN. Antara ancaman utamanya ialah pemburuan haram dan kemusnahan habitat.
Bagaimana pula dengan banteng di Semenanjung Malaysia?
Sebenarnya, terdapat beberapa catatan sejarah yang membuktikan bahawa banteng pernah berada di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu.
Hubbuck pada tahun 1932 melaporkan bahawa sekumpulan banteng berulang kali menyeberang dari Siam ke negeri-negeri Melayu, khususnya Perlis dan Kedah, di kawasan sempadan barat laut Semenanjung iaitu Wang Kelian di Perlis — Satun — Kubang Pasu di Kedah.
Laporan ini memberikan petunjuk bahawa banteng bukan sekadar terdapat di selatan Thailand, tetapi turut memasuki kawasan utara Tanah Melayu.
Menurut penilaian IUCN yang diterbitkan pada 2008, banteng di Semenanjung Malaysia dipercayai telah pupus sekurang-kurangnya sejak dekad 1950-an.
Bagaimanapun, ahli zoologi Lord Medway pada tahun 1983 pernah menyatakan kemungkinan banteng masih terdapat di beberapa kawasan Kedah dan Kelantan selepas tempoh tersebut.
Namun, tiada rekod penemuan terbaharu yang dapat mengesahkan kewujudannya.
Jabatan PERHILITAN turut menyenaraikan banteng sebagai spesies yang telah pupus di Semenanjung Malaysia dalam penerbitan Red List of Mammals for Peninsular Malaysia (2010). Penilaian tersebut menyatakan bahawa tiada rekod penampakan selama lebih 50 tahun.
BAGAIMANA PULA NASIB SELADANG DI PERAK?
Satu perkara yang tidak kurang menarik perhatian saya ialah dakwaan bahawa seladang, yang cukup sinonim dengan Negeri Perak, juga semakin berkurangan di negeri itu.
Dianggarkan seladang yang masih berkeliaran dalam hutan Malaysia pada masa ini sekitar 300 ekor sahaja.
Kemerosotan ini bukan sahaja dikaitkan dengan faktor semula jadi, malah terdapat dakwaan mengenai perubahan corak pergerakan seladang yang merentas sempadan Malaysia-Thailand.
Ada yang mendakwa seladang yang memasuki kawasan hutan Thailand tidak lagi kembali ke habitat asalnya di Malaysia. Perkara ini menarik untuk diteliti, walaupun kita memerlukan data pemantauan hidupan liar untuk mengesahkan sejauh mana fenomena tersebut berlaku.
Di Thailand, dalam wilayah Yala yang bersempadan dengan kawasan Belum di Hulu Perak, terdapat sebuah taman negara yang dikenali sebagai Bang Lang National Park. Tidak jauh dari situ terdapat pula Hala Bala Wildlife Sanctuary di dalam wilayah Narathiwat.
Kawasan ini mempunyai hutan tropika yang luas dan menjadi habitat pelbagai spesies hidupan liar, termasuk gajah, harimau, tapir dan lembu liar.
Kedudukan kawasan hutan ini yang berdekatan dengan kompleks hutan Belum-Royal Belum menjadikan hubungan ekologi merentasi sempadan Malaysia-Thailand sesuatu yang menarik untuk diperhatikan.
Hutan tidak mengenal sempadan negara. Bagi hidupan liar, kawasan hutan yang bersambung merupakan satu landskap kehidupan yang membolehkan mereka bergerak, mencari makanan dan membiak.
Sebab itulah pemeliharaan kawasan hutan di kedua-dua belah sempadan amat penting. Kehilangan habitat di satu kawasan boleh memberikan kesan kepada populasi hidupan liar di kawasan yang lain.
Bagi saya, kisah banteng dan seladang ini bukan sekadar cerita mengenai haiwan yang semakin pupus. Ia juga sebahagian daripada sejarah alam semula jadi Kedah yang mungkin tidak ramai lagi mengetahuinya.
Dahulu, hutan-hutan di utara Semenanjung menjadi tempat berkeliarannya pelbagai spesies haiwan liar. Sebahagiannya masih dapat kita temui hari ini, manakala sebahagian yang lain hanya tinggal dalam catatan sejarah.
Mungkin suatu hari nanti, apabila kita menyusuri hutan Ulu Muda atau menikmati keindahan Tasik Pedu dan Mong Gajah, kita akan terfikir bahawa kawasan yang kita kunjungi itu pernah menjadi sebahagian daripada habitat haiwan-haiwan besar yang kini tidak lagi kita temui.
Keterangan gambar
Tiga peta saya paparkan untuk rakan-rakan faham kedekatan jarak Hutan Simpan Belum di sekitar Tasik Temenggor, habitat utama seladang Bos gaurus di negeri itu dengan Ban Lang National Park di changwat Yala, Thailand. Begitu juga jarak dengan Hala Bala Widlife Sanctuary.
Gambar-gambar banteng dan seladang. Siapa yang mampu bezakan?








No comments:
Post a Comment