Pendidikan dilihat sebagai kunci utama untuk mengubah masa depan anak-anak di kawasan luar bandar, dan itulah antara misi yang mahu dibawa calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Elia Nadira Sabudin, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Di sebalik kesibukan berkempen, ibu kepada empat cahaya mata berusia 43 tahun itu masih meneruskan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik (Sistem Kawalan) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), selain mengusahakan sebuah syarikat pendidikan robotik.
Elia yang juga Naib Ketua Wanita AMANAH Johor berkata, minat akademik dan pengalamannya dalam bidang pendidikan menjadi antara aset yang ingin dimanfaatkan bagi meningkatkan akses pendidikan berkualiti di Tenang
“Saya rasa kekuatan saya adalah pendidikan. Saya mahu anak-anak di Tenang tidak membezakan mereka dengan anak-anak bandar.
“Mereka sebenarnya setara, kita boleh bangunkan anak-anak kita dan beri mereka peluang pekerjaan lebih baik melalui pendidikan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama semalam.
Elia merupakan usahawan teknologi yang memiliki sebuah syarikat pendidikan robotik.
Beliau menyediakan kelas kepada murid dan guru sekolah dengan menggunakan sukatan pelajaran yang selari dengan standard Kementerian Pendidikan (KŠ Š).
Menurutnya, kelas itu membantu pelajar mendalami teknologi baharu seperti pengekodan yang kini mula diperkenalkan di sekolah sekitar Labis, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk melahirkan tenaga mahir tempatan.
Selain itu, Elia Nadira berkata antara perkara pertama yang ditelitinya sebelum bertanding ialah perancangan pembangunan daerah bagi wilayah utara Johor termasuk pelan untuk memajukan ekonomi komuniti setempat melalui sektor ekopelancongan
“Tenang merupakan satu tempat yang banyak tempat pelancongan tapi belum ramai yang kenal kawasan ini boleh dinaikkan sebagai ekopelancongan, ditambah pula dengan adanya stesen ETS (perkhidmatan tren elektrik) di Labis, ia sepatutnya melonjakkan ekonomi setempat dengan lebih agresif,” katanya.
Elia bakal berdepan saingan empat penjuru pada PRN kali ini, menentang calon BN Mohd Azahar Ibrahim; Normala Sudirman daripada Perikatan Nasional (PN); dan calon Bebas Siti Aisyah Zobir.
No comments:
Post a Comment