Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr. Yusri Ibrahim berpandangan, isu rakyat Johor memilih bekerja di Singapura bukan sekadar berkait dengan peluang pekerjaan di negeri itu, tetapi dipengaruhi faktor lebih besar seperti kestabilan politik.
Beliau menekankan pentingnya memilih kepimpinan yang berketerampilan dan diyakini di peringkat antarabangsa dalam usaha mengukuhkan nilai ringgit sekali gus mengekalkan tenaga kerja tempatan daripada berhijrah ke Singapura.
Katanya, ringgit hanya akan mengukuh jika negara mempunyai kestabilan politik, urus tadbir yang baik, kepimpinan yang diyakini di peringkat antarabangsa serta mendapat keyakinan pelabur.
“Ringgit akan terus mengukuh jika politik kita stabil, urus tadbir baik, kepimpinan diyakini di peringkat antarabangsa, pelabur yakin dan sebagainya.
“Sebab itu diskusi ini tidak hanya berkait tentang politik dan pembangunan Johor semata-mata, tapi juga tentang keperluan memilih kepimpinan yang keterampilan dan memilik kompetensi meyakinkan untuk memimpin Malaysia,” katanya dalam program bual bicara bersama Haji Nazri Kahar.
Mengulas lanjut, Dr. Yusri berkata usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Johor sememangnya langkah yang baik dan wajar.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan masih akan ada rakyat Johor yang memilih bekerja di Singapura kerana tarikan utama ialah nilai dolar Singapura.
Beliau berkata hasil temu bual bersama seorang pekerja yang baru enam bulan bekerja di Singapura dalam bidang berasaskan kemahiran mendapati individu itu menerima gaji tetap melebihi 3,000 dolar Singapura sebulan dan kira-kira 4,000 dolar Singapura termasuk elaun.
Dengan kadar pertukaran semasa, pendapatan itu mencecah lebih RM12,000 sebulan, sekali gus menjadi antara faktor yang mendorong ratusan ribu rakyat Johor sanggup berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari.
“Sebab itu saya katakan tadi, salah satu cara untuk bersaing dengan Singapura adalah dengan mengukuhkan matawang kita, Ringgit Malaysia,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment