
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada sesi dialog sempena persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik Ke-39 (39APR) di Kuala Lumpur pada 2 Julai 2026.
KUALA LUMPUR, 2 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik amalan dwistandard dalam pematuhan terhadap norma dan undang-undang antarabangsa susulan sesetengah negara bebas mengabaikan undang-undang itu, sedangkan negara lain seakan dipaksa tertakluk kepada standard pematuhan paling ketat.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sendiri melalui pengalaman sedemikian apabila penghantaran peluru berpandu serangan tentera laut yang ditempah, dibatalkan secara unilateral oleh pembekal dari Norway walaupun hampir keseluruhan pembayaran sudah dibuat.
Beliau menegaskan, insiden seumpama itu menunjukkan berlakunya kemerosotan semakin ketara dan bersifat sistematik terhadap penghormatan kepada norma serta undang-undang antarabangsa.

Katanya, kekuatan semakin dianggap sebagai penentu kebenaran, manakala kepentingan nasional yang sempit dijadikan keutamaan, walaupun terpaksa mengorbankan kesucian dan kewajipan undang-undang yang terkandung dalam sesuatu kontrak antarabangsa.
“Pendirian Malaysia dalam perkara ini, sama ada kepada syarikat berkenaan atau kerajaan Norway, amat jelas.
“Walaupun Malaysia akan terus mendapatkan penyelesaian melalui saluran diplomatik dan perundangan, episod ini mencerminkan suatu masalah yang lebih besar serta trend yang membimbangkan, iaitu amalan dwistandard oleh pihak yang mendakwa menjunjung kedaulatan undang-undang, selain sikap hipokrit mereka yang memilih untuk berdiam diri apabila pelanggaran sedemikian berlaku.
“Apakah boleh diterima jika sesetengah negara bebas mengabaikan undang-undang dan norma antarabangsa, sedangkan negara lain pula tertakluk kepada standard pematuhan yang paling ketat?
“Jika inilah cara rakan di Barat memilih untuk melayan negara di Selatan Global dan jika prinsip “satu peraturan untuk kami, satu lagi untuk kamu” benar-benar menjadi norma yang ingin diketengahkan, maka keadaan ini tidak memberikan petanda yang baik terhadap masa depan hubungan kita sebagai rakan kongsi dan sahabat yang setara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada sesi Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini, hari ini.
No comments:
Post a Comment