Jawatankuasa Khas Tangani Penipuan Dalam Talian Ditubuh – Fahmi

 


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengadakan sidang media mingguan di Angkasapuri pada 2 Julai 2026.

KUALA LUMPUR, 2 Jul – Mulai 18 Jun lalu, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kerja dan Kumpulan Teknikal bagi menangani jenayah penipuan dalam talian melibatkan seluruh negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata jawatankuasa itu dijangka membawa perkembangan positif menerusi kerjasama pelbagai pihak, termasuk sektor perbankan, telekomunikasi dan platform media sosial.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan ditubuhkan susulan hasil pemukiman Jemaah Menteri bagi menguruskan isu berkaitan jenayah penipuan dalam talian secara lebih bersepadu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengadakan sidang media mingguan di Angkasapuri pada 2 Julai 2026.

“Mesyuarat pertama bagi jawatankuasa kerja ini akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Jawatankuasa kerja ini melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan jabatan. Malah, buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform-platform media sosial juga akan terlibat,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, beberapa strategi tidak boleh didedahkan kepada umum kerana membabitkan aspek keselamatan dan keberkesanan operasi.

“Saya tak boleh cakap terlalu terbuka kerana yang sedang menonton ini juga mungkin ada kaitan dengan scammer.

“Jadi, ada beberapa perkara yang perlu kita bataskan untuk mengelakkan pendedahan terhadap perkara-perkara strategik,” katanya.

No comments: