Rekod pelaburan kerajaan Negeri Sembilan diterajui Pakatan Harapan (PH) ketika ini jauh mengatasi sasaran dijanjikan Barisan Nasional (BN) dalam manifestonya.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun diumumkan BN perlu dinilai berbanding pencapaian semasa kerajaan negeri.
Aminuddin yang juga calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menegaskan bahawa kerajaan negeri sudah pun berjaya merekodkan pelaburan lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat.
Menurutnya, Negeri Sembilan merekodkan pelaburan RM19.1 bilion pada 2025, selain tambahan RM13 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

“Dalam tempoh setahun setengah kita sudah dapat angka yang hampir sama dengan apa yang mereka janjikan untuk lima tahun. Bayangkan.
“Mereka nak ke belakang atau ke depan? Apa yang mereka rancang sebenarnya untuk anak cucu kita?” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning, malam tadi.

Tambahnya, rakyat perlu melihat kemampuan sesebuah kerajaan berdasarkan perancangan dan hasil yang telah dilaksanakan, bukannya hanya melalui tawaran dalam manifesto.
Perebutan kuasa
Dalam masa sama, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan turut menyifatkan pihak lawan lebih memberi tumpuan kepada perebutan kuasa berbanding menawarkan rancangan pembangunan yang jelas kepada rakyat.
“Mereka hanya fikir perkara apa, saya tidak tahu. Mereka mahu kuasa saja pada hari ini,” kata Naib Presiden PKR itu lagi.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-16, PH bertanding di semua 36 kerusi DUN iaitu 16 calon dari PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Parti Amanah Negara (AMANAH).
Tawaran manifesto PH yang dilancarkan 20 Julai lalu, mengandungi 10 komitmen utama dalam menjadikan Negeri Sembilan negeri termaju yang inklusif.
Terdapat 889,490 orang pengundi berdaftar dalam PRK Negeri Sembilan ke-16 kali ini dengan kira-kira 132,500 atau 14.9 peratus merupakan pengundi India.
Esok merupakan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan melibatkan 16,884 orang tentera serta pasangan dan 5,455 orang polis manakala hari mengundi pada 1 Ogos.
No comments:
Post a Comment