Malaysia Sedia Sambut Kepulangan F1 Ke Litar Sepang – PM Anwar

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi perbincangan melalui telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali pada 25 Julai 2026. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 26 Jul – Malaysia kini bersedia untuk mengalu-alukan penganjuran semula perlumbaan Formula One (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (Sepang International Circuit – SIC) selepas kali terakhir penganjurannya sembilan tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, SIC bakal menjadi tuan rumah kepada Grand Prix (GP) F1 Bahrain yang akan berlangsung antara 2 hingga 4 Oktober depan.

“Malaysia bersedia untuk mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA (Persekutuan Automobil Antarabangsa, pasukan-pasukan yang bertanding serta para peminat dari seluruh dunia ke Sepang.

“Kami menantikan peluang untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra kami, di samping terus memperkukuh hubungan erat antara kedua-dua negara melalui acara istimewa ini,” katanya.

Terdahulu, F1 yang dimiliki Liberty Media dalam satu kenyataan ketika berlangsungnya GP Hungary mengesahkan perlumbaan pada 4 Oktober di litar berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu akan dikenali secara rasmi sebagai ‘Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia’.

Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali menyifatkan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Bahrain bersama badan induk Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) serta F1 itu sebagai perkembangan positif buat peminat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi perbincangan beliau melalui telefon bersama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif F1 Stefano Domenicali berhubung kerjasama itu.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada baginda, Kerajaan serta rakyat Bahrain atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia… kami berbesar hati dapat menyokong Kerajaan Bahrain, F1 dan FIA dalam penganjuran GP F1 Bahrain di SIC pada tahun ini,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain selain mengulangi kesiapsiagaan serta keupayaan Malaysia untuk menganjurkan acara besar di peringkat antarabangsa.

Perlumbaan GP Bahrain yang sepatutnya berlangsung pada April lalu dibatalkan, selain pusingan di Jeddah, Arab Saudi berikutan konflik Iran serta keadaan tidak menentu di rantau Asia Barat.

Perlumbaan di Malaysia itu akan berlangsung di antara GP Azerbaijan pada 26 September dan GP Singapura pada 11 Oktober.




No comments: