Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan rasa simpati terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin dan ahli Bersatu susulan tindakan Pas yang mengabaikan parti itu dalam percaturan politik Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil berkata, keadaan tersebut memperlihatkan Bersatu seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja oleh rakan gabungannya sendiri.
“Kepada rakan-rakan Bersatu, saya sangat bersimpati. Pas tinggalkan Bersatu seolah-olah tergantung tidak bertali.
“Dia ahli PN, tetapi bertanding atas logo Bersatu. Jadi, ini sikap tidak setia Pas,” katanya dalam sidang media Harapan di Seremban baru-baru ini.
Hadir sama dalam sidang media itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad.

Menurut Faiz, tindakan berkenaan wajar dinilai oleh rakyat Negeri Sembilan kerana ia mencerminkan sikap tidak jujur dan tidak setia dalam hubungan sesama parti.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi menolak Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
“Saya harap rakyat di Negeri Sembilan betul-betul kenal dan tolak Pas kerana tidak jujur dan tidak setia.
“Dia boleh tinggalkan Bersatu begitu sahaja. Kasihan kepada kawan-kawan Bersatu,” tegasnya.
Faiz berkata, rakyat perlu membuat pilihan tepat bagi mempertahankan kerajaan Negeri Sembilan daripada unsur politik negatif yang hanya akan mengganggu kestabilan negeri.
“Saya benar-benar berharap rakyat dapat membuat pilihan tepat untuk mempertahankan kerajaan ini daripada unsur-unsur negatif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan Pas sebagai parti yang memecah-belahkan umat Melayu dengan menggunakan sentimen agama dan ketakutan demi meraih sokongan politik.
Menurutnya, suatu ketika dahulu terdapat ahli Pas, khususnya di utara Semenanjung dan Pantai Timur, yang percaya bahawa Umno dianggap kafir akibat pendekatan politik parti berkenaan.
No comments:
Post a Comment