
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 27 Julai 2026.
TAMPIN, 27 Jul – Tiada mana-mana individu akan dilindungi sekiranya didapati bersalah berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, prinsip kerajaan jelas iaitu mereka yang tidak bersalah perlu dipertahankan, manakala individu yang terbukti melakukan kesalahan mesti didakwa dan menerima hukuman mengikut undang-undang.
“Kalau tidak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum masuk penjara, masuk penjara. Itu bukan urusan saya,” katanya ketika berucap dalam Program Semarak Kenegaraan di Dewan Garisson, Kem Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, proses keadilan di negara ini perlu berjalan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak termasuk dirinya selaku Perdana Menteri.
Katanya, siasatan adalah tanggungjawab badan penyiasat, pendakwaan di bawah bidang kuasa Peguam Negara, manakala hukuman ditentukan oleh mahkamah.
“Sistem kita menetapkan siasat, itu badan siasat. Buat pertuduhan, itu Peguam Negara. Hukum, itu hakim. Itu bukan urusan Perdana Menteri,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung laporan tersebut dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini selepas beliau selesai meneliti kandungannya.
“Mudah-mudahan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu, kita ada keputusan. Ada laporan, saya sudah membacanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment