
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun hadir pada program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning pada 26 Julai 2026. Foto Aminuddin Harun
SEREMBAN, 26 Jul – Datuk Seri Aminuddin Harun mempersoalkan kemampuan Barisan Nasional (BN) membawa pembangunan negeri selepas rekod pelaburan kerajaan negeri ketika ini jauh mengatasi sasaran dijanjikan BN dalam manifestonya.
Beliau berkata, sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun diumumkan BN perlu dinilai berbanding pencapaian semasa kerajaan negeri yang berjaya merekodkan pelaburan lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat.

Katanya, Negeri Sembilan merekodkan pelaburan RM19.1 bilion pada 2025, selain tambahan RM13 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
“Dalam tempoh setahun setengah kita sudah dapat angka yang hampir sama dengan apa yang mereka janjikan untuk lima tahun. Bayangkan.

“Mereka nak ke belakang atau ke depan? Apa yang mereka rancang sebenarnya untuk anak cucu kita?” katanya ketika berucap pada program ramah mesra bersama masyarakat India di Air Kuning, malam tadi.
Aminuddin berkata, rakyat perlu melihat kemampuan sesebuah kerajaan berdasarkan perancangan dan hasil yang telah dilaksanakan, bukannya hanya melalui tawaran dalam manifesto.

Beliau turut menyentuh kritikan terhadap usaha kerajaan negeri membangunkan sektor pelancongan termasuk mengangkat produk warisan Negeri Sembilan seperti makanan tradisi dan kawasan rekreasi.
Katanya, pembangunan kawasan seperti Kuala Pilah dan Jelebu dilakukan melalui pendekatan yang mengekalkan nilai tempatan termasuk memperkenalkan ekopelancongan serta kawasan rekreasi tanpa menjejaskan alam sekitar.

“Hari ini kita angkat makanan Negeri Sembilan, masak lemak cili api. Kita perkenalkan kepada satu dunia bahawa makanan ini hebat.
“Di Jelebu kita perkenalkan Hutan Simpan Kenaboi, kita bangunkan kawasan itu sebagai kawasan rekreasi. Hutan tidak perlu ditebang, hasil daripada hutan inilah yang menyumbang kepada hasil negeri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pihak lawan lebih memberi tumpuan kepada perebutan kuasa berbanding menawarkan rancangan pembangunan yang jelas kepada rakyat.
“Mereka hanya fikir perkara apa, saya tidak tahu. Mereka mahu kuasa saja pada hari ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment