Tiada modal ekonomi hanya eksploitasi perkauman, Umno-Pas sampai heret istana dan ratib DAP

 

Tindakan pemimpin Umno dan Pas berulang kali memainkan sentimen perkauman serta mengaitkan DAP dengan institusi diraja menunjukkan kedua-dua parti itu semakin ketandusan modal untuk menawarkan agenda ekonomi kepada rakyat Negeri Sembilan.

Pemerhati politik, Norman berkata, kempen pilihan raya di negeri itu kini dicemari dakwaan yang bukan sahaja menyasarkan Pakatan Harapan (PH), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, malah turut mengheret istana sebagai bahan politik.

Menurutnya, dakwaan kononnya DAP mengawal kerajaan dan istana adalah tuduhan serius yang boleh menjejaskan kemuliaan institusi diraja serta mengelirukan rakyat.

“Tidak cukup Anwar Ibrahim dan Tok Min difitnah menjadi barua DAP, kini ada pula pemimpin Umno yang mendakwa istana dikawal DAP.

“Apakah tujuan memfitnah istana kononnya dikawal DAP? Adakah institusi diraja juga mahu dijadikan bahan untuk meraih undi?” soalnya dalam satu kenyataan.

Pakatan Harapan menolak tindakan biadab memasyhurkan individu lain sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menggantikan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Tegasnya, sentimen DAP dan kaum Cina terus diratib kerana BN-Pas gagal membentangkan rancangan jelas untuk meningkatkan pendapatan, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi rakyat Negeri Sembilan.

Beliau mempersoalkan sama ada pemimpin Pas pernah menerangkan secara terperinci bentuk pembangunan ekonomi yang mahu dilaksanakan sekiranya diberikan mandat mentadbir negeri itu.

“Apabila naik ke pentas, yang disebut hanya DAP, DAP dan DAP. Mana perancangan ekonomi untuk rakyat? Apakah yang mahu dibangunkan di Negeri Sembilan?

“Tidak mungkin sebuah negeri boleh dimajukan hanya dengan menakut-nakutkan orang Melayu menggunakan sentimen kaum,” katanya.

Kontroversi kewangan

Norman turut membangkitkan pelbagai kontroversi kewangan dan pentadbiran yang berlaku ketika negara dipimpin oleh pemimpin Melayu, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerugian pelaburan serta masalah melibatkan institusi berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.

Katanya, sejarah tersebut membuktikan bahawa kaum atau imej keagamaan seseorang pemimpin tidak boleh dijadikan ukuran tunggal terhadap keupayaan, integriti dan kebolehannya mengurus negara.

Sehubungan itu, Norman berkata, masyarakat perlu menilai pemimpin berdasarkan rekod pentadbiran, kejujuran, kecekapan serta kemampuan membangunkan ekonomi, bukannya hanya kerana seseorang itu memakai kopiah, membaca ayat al-Quran atau menggunakan agama untuk meraih sokongan.

Beliau merujuk kisah Abu Dzar yang tidak dilantik Nabi Muhammad SAW memegang jawatan pentadbiran meskipun dikenali sebagai seorang sahabat yang alim, kerana kepimpinan merupakan amanah berat yang memerlukan kemampuan mengurus.

“Negara akan rosak apabila kehilangan berbilion ringgit dianggap tidak mengapa, asalkan pelakunya Melayu, sedangkan pihak lain terus dituduh mengawal kerajaan tanpa bukti,” katanya.

Tok Min menegaskan bahawa institusi istana diraja tidak harus diheret jadi bahan untuk meraih undi.

Norman turut mengingatkan rakyat supaya tidak mudah dipengaruhi perubahan pendirian parti politik yang sebelum ini saling menuduh dan bermusuhan, tetapi kemudian boleh bekerjasama apabila kepentingan politik mereka berubah.

Katanya, rakyat di peringkat akar umbi pula menjadi mangsa apabila hubungan persahabatan dan kekeluargaan terputus akibat hasutan politik, sedangkan pemimpin yang saling menyerang akhirnya boleh kembali berpegangan tangan.

“Orang di bawah bergaduh sehingga putus kawan dan saudara, tetapi pemimpin yang menghasut mereka boleh bekerjasama, menerima gaji serta elaun puluhan ribu ringgit.

“Sudah tiba masanya orang Melayu berfikir secara kritikal dan bertanya siapa yang benar-benar mampu mengurus negeri, bukannya membiarkan pemikiran mereka dijajah dengan ketakutan terhadap DAP,” kata Norman lagi.





No comments: