𝗦𝗘𝗡𝗔𝗡𝗚 𝗝𝗔𝗗𝗜 𝗣𝗔𝗦: 𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗦𝗔𝗞𝗜𝗧 𝗗𝗜𝗔 𝗕𝗘𝗥𝗣𝗨𝗔𝗦 𝗛𝗔𝗧𝗜, 𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗗𝗔𝗛 𝗡𝗔𝗞 𝗣𝗨𝗟𝗜𝗛 𝗗𝗜𝗔 𝗧𝗨𝗡𝗚𝗚𝗔𝗡𝗚
PAS sekarang cuba cari apa-apa isu untuk tiup api perkauman. Terbaru, kisah Tabung Haji.
Ada seorang wakil rakyat PAS, nama dia Azman Ibrahim, ADUN Jabi. Dia memang suka mengundang kontroversi. Pernah satu ketika, lunyai dia kena kecam sebab menyamakan wanita dengan barang.
Baru-baru ini, dia petik nama saya. Saya baca yang dia petik:
“Mantan Menteri Ekonomi merangkap MP Pandan ialah individu yang bertanggungjawab membawa cerita yang menghakis keyakinan orang ramai sehingga ramai pendeposit mengeluarkan simpanan dari TH dengan jumlah ratusan juta ringgit. Saya dari dulu lagi tak percaya Rafizi, sebab itu saya kekal menyimpan dalam TH”
Kalau dah petik nama, saya kena jawablah.
Memang betul saya ahli politik yang pertama yang membawa isu kelemahan tadbir urus kewangan Tabung Haji seawal 2015. Antara 2015 hingga 2019, saya telah menulis sebanyak 34 analisa dan pandangan; yang banyak mempengaruhi keputusan-keputusan kerajaan berkenaan Tabung Haji pada ketika itu.
Semua analisa ini boleh dibaca di blog saya rafiziramli.com/category/tabung-haji
Analisa saya bukan cerita, macam YB Azman buat cerita yang beri gambaran wanita itu seperti barang.
Isu yang saya bawa adalah berasaskan analisa kewangan, bermula dengan teguran dari Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa rizab Tabung Haji telah menjadi negatif.
Apabila Tabung Haji di bawah pentadbiran Najib Razak menidakkan teguran Bank Negara ketika itu, saya telah menunjukkan analisa berdasarkan penyata kewangan diaudit Tabung Haji sendiri.
Saya tahu YB Azman dari PAS ni mungkin tak faham, tapi saya ulang petikan analisa itu sebab banyak rakyat yang cerdik:
“ i. Nilai aset-aset anak syarikat Tabung Haji yang diwar-warkan kukuh dan mampu menampung rizab negatifnya itu adalah aset-aset Bank Islam yang berjumlah RM41.683 bilion yang digabungkan di dalam kumpulan Tabung Haji;
ii. Aset-aset ini tidak cair dan tidak boleh ditunaikan segera kerana ia berbentuk pinjaman yang diberikan oleh Bank Islam kepada pelanggan dan Kerajaan Persekutuan. Malah, aset-aset ini tidak boleh digunakan bagi tujuan lain kerana ia perlu menanggung hutang Bank Islam berjumlah RM44.692 bilion iaitu jumlah simpanan rakyat yang didepositkan dan tanggungan polisi takaful;
iii. Untuk memenuhi tanggungjawabnya membayar kembali simpanan rakyat yang menabung dengannya dan membayar dividen/bonus, Tabung Haji tidak ada pilihan lain kecuali menggunakan dana dan asetnya sendiri;
iv. Penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 menunjukkan Tabung Haji telah mempunyai rizab negatif yang bermakna ia tidak cukup dana dan aset untuk menampung pembayaran balik simpanan rakyat sekiranya dikeluarkan serentak, apatah lagi untuk membayar dividen/bonus.”
Selepas itu, saya terus meneliti prestasi kewangan Tabung Haji ketika itu dan mendedahkan skandal-skandal berkaitan kelemahan tadbir urus kewangan Tabung Haji di bawah pentadbiran Najib Razak. Ini termasuklah:
1) Tabung Haji Menanggung Kerugian Terkumpul RM933 Juta Akibat Pelaburan Di Dalam Felda Global Ventures.
2) Pelaburan Tabung Haji Di Dalam Syarikat Roti Silverbird: Saham Dibeli Pada Premium 177%, Kerugian RM90 Juta.
3) Pelaburan Tabung Haji Di Syarikat Kejuruteraan Huluan (Ramunia Holdings Berhad) Catat Kerugian Atas Kertas RM200 Juta, Risiko Kerugian Jangka Panjang RM1.4 Bilion.
4) Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian RM554 Juta Di Dalam TH Heavy Engineering Berhad.
5) DS Najib Guna RM740 Juta Wang Rakyat Untuk Selamatkan TH Heavy Engineering Akibat Keputusan Pelaburan Tabung Haji Yang Salah.
6) Tabung Haji Rugi RM64 Juta Akibat Pelaburan Di Dalam Perisai Petroleum Teknologi Berhad
7) Tabung Haji Terdedah Kepada Kerugian Lebih RM700 Juta Akibat Pelaburan Dalam Sektor Berisiko Seperti Minyak Dan Gas
😎 Pelaburan Tabung Haji Dalam Theta Edge Berhad: Tabung Haji Suntik Dana Dalam Syarikat Yang Telah Kerugian RM330 Juta
8) Tabung Haji Perlu Jelaskan Kenapa Syarikat Bersekutunya Terima RM140 Juta Dana SRC International Sdn Bhd
Akibat kedudukan kewangan Tabung Haji yang buruk, setelah Pakatan Harapan mengambil alih dalam tahun 2018, kerajaan dengan segera perlu menyelamatkan Tabung Haji.
Ia dibuat melalui satu transaksi kewangan yang sebenarnya adalah satu bail-out oleh pembayar cukai.
Dalam tahun 2018, Kerajaan menubuhkan sebuah syarikat khusus milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) bernama Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), untuk mengambil alih aset-aset Tabung Haji yang mengalami kerugian.
No comments:
Post a Comment