Umno takkan terima, benarkan ahli lompat dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan




Umno hari ini menegaskan bahawa ia tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan lompat-melompat ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.


“Pendirian UMNO tetap tegas bahawa UMNO tidak akan sesekali menerima dan membenarkan perlakuan ‘lompat-melompat’ ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Dusuki dalam satu kenyataan.

“Budaya mengambil ahli atau pemimpin parti masing-masing hanya akan mencetuskan perbalahan dan pertelingkahan hingga menggugat kestabilan gabungan.


“Cukuplah pengalaman pahit lampau dalam permuafakatan politik lalu hingga meruntuhkan kerajaan akibat perlakuan khianat dan lompat-melompat serta mencuri ahli sesama kalangan parti dalam permuafakatan.


Kenyataan ini dibuat ekoran pengesahan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rundingan awal berhubung penyertaan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ke PKR telah pun berlaku.


Sehubungan dengan itu, Anwar telah meminta pandangan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Penubuhan parti serpihan seperti Bersatu menyaksiakan Umno kehilangan ramai anggotanya pada masa lalu.