Anwar kongsi momen bertemu gurunya Syed Muhammad Naquib Al Attas

 








Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi beberapa foto pertemuannya dengan Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Beliau berkata, pertemuan dalam suasana kekeluargaan itu menghimbau kenangan lampau sewaktu bergelar mahasiswa, tatkala mendampingi beliau menelaah teks karya-karya besar khususnya ‘Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ serta ‘Islam and Secularism’. 

Anwar berkata, kerajaan MADANI komited untuk memanfaatkan gagasan pemikiran dan karya-karya Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk pembangunan ilmiah rakyat dan negara melalui kegiatan-kegiatan ilmiah yang bakal dirancang.


“Seusai Kongres Nasional Khas PKR, saya meluangkan kesempatan hujung minggu menziarahi filasuf bangsa yang juga ilmuwan ulung tanah air, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

“Peranan instrumental Syed Muhammad Naquib sebagai pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) telah menarik minat generasi ilmuwan tersohor dari seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian, mengajar dan melaksanakan penyelidikan ilmiah di Malaysia.


“Khutub khanah ISTAC sememangnya tersohor sebagai antara perpustakaan terunggul di negara Islam yang menghimpunkan koleksi khas bahan ilmiah, kesusasteraan dan ketamadunan serta kebudayaan untuk pengajian peringkat tinggi,” katanya di Facebook.

Kunjungan itu turut disertai anaknya Nurul Izzah dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.


Sementara itu Anwar berkata, beliau mengimbau kenangan sewaktu masa muda, menganggap dirinya bertuah kerana sering terlibat menyaksikan wacana dan perdebatan ilmiah yang begitu mengasyikkan antara Syed Muhammad Naquib dan seorang lagi gergasi ilmuwan negara yang juga merupakan kekanda beliau, Prof Dr Syed Hussein Al-Attas.

Perdana Menteri berkata, beliau turut berkesempatan mendengar syarahan daripada tokoh itu mengenai Aqā´id al-Nasafī, Historical Fact and Fiction, Risalah untuk Kaum Muslimin dan merentas tokoh pemikir Barat seperti Voltaire, Henry Pirenne, Rene Guenon, Oleg Grabar.