Feri Langkawi batal kenaikan tambang lepas menteri beri amaran tak dapat subsidi diesel

 


Pengusaha Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd menarik balik kenyataan syarikat itu yang mahu menaikkan tambang feri berkuatkuasa 1 Januari depan.


Kenaikan itu adalah di antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

Bagaimanapun syarikat tersebut telah membatalkan kenaikan tersebut selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran akan membatalkan pemberian subsidi diesel.


Pengurus Besar Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, walaubagaimanapun tambang feri untuk pelancong asing akan tetap dikuatkuasakan mulai tahun hadapan.

“Atas nasihat Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Kerajaan Negeri Kedah, maka kenaikan tambang bagi warganegara Malaysia mulai 1 Januari 2025 ini dibatalkan,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.


Terdahulu Anthony Loke meluahkan rasa kesal dengan tindakan terburu-buru yang diambil oleh pengusaha feri Langkawi.

Beliau memberi amaran untuk membatalkan pemberian subsidi diesel terhadap pengusaha feri jika meneruskan kenaikan harga tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.