Keangkuhan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md
Nor yang membayangkan Kerajaan Persekutuan akan bertukar sedikit waktu lagi
dalam sidang medianya semalam dibidas Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq
Johari.
Bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah itu, Sanusi tidak
seharusnya cakap besar kononnya PN boleh mentadbir Kerajaan Persekutuan,
sebaliknya beliau perlu menunjukkan kebolehan sebagai pemimpin PN mentadbir
negeri Kedah.
Sehubungan itu, Taufiq mempersoalkan janji Sanusi mahu membina
litar lumba untuk anak muda Kedah yang setelah lebih setahun tidak menjadi
kenyataan.
“Sebagai Menteri Besar setiap percakapan (janji) perlu ada sikap
bertanggungjawab. Jika sebaliknya, maka kamu gagal sebagai Menteri Besar,”
katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Selain itu, Taufiq turut mengingatkan MB itu untuk memberi tumpuan
kepada industri pelancongan di negeri ‘Jelapang Padi’ yang semakin merosot di
bawah pentadbirannya.
Katanya, masyarakat luar tidak lagi melihat Kedah sebagai kawasan
pelancongan sebaliknya lebih tertarik untuk melancong ke Thailand.
“Kita lihat Kedah tidak lagi menjadi kawasan pelancongan, rakyat
berpusu-pusu melancong terus ke Thailand dan tidak lagi pergi ke Langkawi
mahupun Kuala Kedah.
“Hal ini kerana kita tidak ada pemimpin yang menyentuh pembangunan
negeri. Jadi saya saran lebih baik Sanusi sebagai Menteri Besar fokus bangunkan
Kedah dan usahlah sibuk berpolitik sahaja,” ujarnya lagi.
Sanusi dibidas sebelum ini apabila mengesahkan wujudnya rancangan
di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan dalam
sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, semalam.
Kenyataan Sanusi yang tidak berasaskan fakta itu mengundang
netizen mempersoalkan tujuan utama pemimpin PN berpolitik, sama ada mahu
menjaga kebajikan rakyat atau pun hanya berusaha merebut kuasa.