Dr M tidak wajar pertikai kesetiaan Cina, India, pecah belah keharmonian
Bekas Perdana Menteri (PM) selama lebih dua dekad Tun Mahathir
Mohamad diingatkan agar tidak membuat kenyataan yang memecah belahkan
keharmonian antara kaum di negara ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kesetiaan orang India
dan Cina di Malaysia terhadap negara tidak boleh dipersoalkan hanya kerana
mereka bercakap dalam bahasa ibunda dan menganut budaya serta adat mereka
sendiri seperti diluahkan oleh Dr Mahathir dalam satu temuramah media baru baru
ini.
"Amat malang walaupun telah menerajui negara ini selama
bertahun-tahun, Tun Dr Mahathir masih merasa wajar untuk membuat kenyataan yang
bersifat memecahbelahkan terutamanya dalam hal kaum.
"Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan kaum.
Warga Malaysia adalah dari pelbagai latar belakang agama dan budaya.
"Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf perkara ini dengan
jelas, bahawa kecuali sebagaimana yang dibenarkan secara nyata oleh
Perlembagaan itu sendiri, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara
hanya atas alasan agama, bangsa, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam
mana-mana undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas Gobind, telah menjadi keunikan rakyat Malaysia yang berbilang
kaum bercakap dalam pelbagai bahasa dan fasih berbahasa lebih daripada satu
bahasa.
Hal itu katanya, tidak pernah menjadi masalah atau dianggap
sebagai ketidaksetiaan kepada negara sebelum ini.
"Ia juga diterima umum ramai rakyat kita bercakap lebih
daripada satu bahasa, kebanyakan mereka fasih dalam Bahasa Malaysia dan bahasa
ibunda mereka sendiri yang termasuk antaranya Cina, Tamil, Iban atau Kadazan.
"Ini tidak pernah menjadi masalah kepada kami. Sebaliknya,
kepelbagaian itulah yang telah menguatkan kita dan meletakkan kita dalam
kedudukan untuk mendapat manfaat daripada dunia hari ini yang sebahagian
besarnya bersifat global," katanya.
Oleh itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Malaysia itu berasa
agak kecewa apabila Dr Mahathir yang hidup di Malaysia sejak sebelum merdeka
dan menjadi ahli politik di hampir dua per tiga usianya yang mencecah satu abad
itu memberi pendapat seolah olah beliau tidak pernah menyaksikan semua bangsa
bergandingan tangan dan berjerih perih membangun Malaysia menjadi negara
terbilang sebagaimana hari ini.
"Dr Mahathir mesti mengakui semua rakyat Malaysia sama ada
Melayu, Cina, India, Sabah atau Sarawak telah bekerja dan masih bertungkus
lumus membina negara ini.
"Tidak salah jika kita datang daripada latar belakang kaum,
agama dan budaya yang berbeza atau bercakap dalam bahasa yang berbeza. Kita
sememangnya rakyat Malaysia dan setia kepada negara kita," katanya lagi.
Dr Mahathir baru baru ini dalam temu bual eksklusif secara dalam
talian bersama saluran TV satelit India, Thanthi TV berkata, seseorang itu
harus dikenali sebagai orang Melayu dahulu untuk berhak menganggap Malaysia
sebagai negara sendiri.
Beliau kemudian mengaitkan orang India yang tidak bercakap bahasa
Melayu sebagai bahasa asal mereka, sebaliknya bercakap bahasa Tamil.