Siapa pun yang sedang berkuasa dan menjadi kerajaan, mereka akan cuba sedaya upaya mempertahankan kuasa tersebut.
Dan siapa pun yang menjadi pembangkang, kerjanya tidak lain ialah untuk merenggut atau merampas kuasa daripada mereka yang sedang berkuasa.
Kuasa adalah rebutan atau permainan dalam politik dan merupakan nikmat paling tak ternilai dalam kehidupan orang-orang politik.
Daripada kuasalah akan menyebabkan datangnya kekayaan, kemasyhuran dan kemampuan mencipta seribu satu macam keseronokan.
Itulah lumrah politik di mana-mana ceruk juga di dunia ini.
Jangankan kuasa sebagai Perdana Menteri atau Menteri, kuasa sebagai Ketua Bahagian atau Ketua Cabang saja kadang-kadang sudah sipi-sipi nikmat syurga apa yang dirasa.
Tetapi, sama seperti mempertahankan kuasa atau merebut kuasa, nikmatnya jauh lebih bernilai jika diperolehi melalui perebutan dan persaingan, bukan kerana dilindungi oleh undang-undang.
Selain tiada kenikmatan, ia juga melambangkan jiwa pengecut seseorang dalam berlawan.
Sebab itu, cadangan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Zahid agar digubal suatu undang-undang bagi menghalang pertukaran kerajaan selain melalui pilihan raya adalah cadangan yang tidak diterima, tidak masuk akal dan tidak demokrarik.
Mereka yang kental jiwa maskulinnya sentiasa suka dengan cabaran dan tidak gentar untuk menghadapi perlawanan.
Memang benar pilihan raya adalah proses untuk beroleh kuasa atau menukar kerajaan, tetapi kaedah lain selain daripada itu bukanlah pula suatu kesalahan.
Seluruh dunia yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan amalan menukar kerajaan di pertengahan jalan dan sudah banyak pun negara yang bertukar kerajaan bukan melalui pilihan raya.
Kenapa mereka boleh menerima proses tersebut?
Mengapa pula Zahid Hamidi mahu kuasa dilindungi oleh undang-undang di mana hanya melalui pilihan raya saja kerajaan boleh dijatuhkan?
Lupakah Zahid Hamidi, beliau sendiri pernah menjadi pencetus dan sebahagian karektor kejatuhan kerajaan di luar proses pilihan raya ketika era Mahiaddin Md Yasin dahulu?
Mengapa sekarang, mentang-mentang sudah berjaya memegang kuasa, tiba-tiba mahu digubal suatu undang-undang pula agar orang lain tidak boleh menjatuhkannya?
Sepatutnya, oleh kerana Zahid Hamidi sendiri pernah menjatuhkan kerajaan di pertengahan jalan, beliau haruslah berlapang dada dengan apa jua cabaran, bahkan tidak takut untuk dijatuhkan.
Itu baru adil dan gentleman namanya.
Ataukah Zahid Hamidi sudah mula goyang dengan cerita-cerita kerajaan hendak dijatuhkan akhir-akhir ini?
Zahid Hamidi seharusnya mencontohi jiwa berani dan sedia berlawan yang dimiliki oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Setiap kali ada cubaan mahu menjatuhkan kerajaan atau menumbangkannya sebagai Perdana Menteri, Anwar sentiasa mencabar mereka yang berkenaan agar membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.
Ini baru ada jiwa jantan, sesuai dengan tindakannya sendiri yang pernah beberapa kali cuba menjatuhkan kerajaan di pertengahan jalan sebelum ini.
Ingatkan bila sudah menjadi timbalan kepada Anwar yang sentiasa berjiwa berani dan jantan, Zahid Hamidi setidak-tidak haruslah juga ada sikit-sikit ciri sedemikian.
Aduhhh…Tuan Presiden, cukuplah dalam UMNO saja dikuatkuasakan sekatan dan undang-undang tidak boleh berlawan itu. ShahbudinHusin 14/01/2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/01/14/zahid-hamidi-patut-berani-seperti-anwar.html