Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran dan pusat hiburan dalam satu Operasi Khas dijalankan pada 12 Januari 2024 di 5 lokasi iaitu 2 premis pusat pelacuran dan 3 premis pusat hiburan KTV di Perak. Operasi bermula pada jam 11.00 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor, Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak dan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perlis.
Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya selama 1 bulan. Berdasarkan maklumat yang diperolehi pasukan operasi telah diatur gerak ke 5 premis dan telah menahan 52 orang perempuan warganegara China, 41 orang perempuan warganegara Vietnam, 21 orang perempuan warganegara Thailand, 2 orang perempuan warganegara Indonesia, seorang perempuan warganegara Laos, 8 orang lelaki warganegara Bangladesh, 4 orang lelaki warganegara Myanmar, seorang lelaki warganegara Indonesia dan seorang lelaki stateless. Kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 36 tahun. Manakala 7 orang lelaki warganegara Malaysia dan 3 orang perempuan warganegara Malaysia sebagai penjaga premis berusia antara 35 hingga 44 tahun turut ditahan. Jumlah keseluruhan yang telah ditahan adalah seramai 141 orang.
Hasil semakan awal, 32 orang perempuan warganegara China, 15 orang perempuan warganegara Vietnam, 8 orang perempuan warganegara Thailand, 2 orang perempuan warganegara Indonesia dan seorang lelaki Myanmar yang ditahan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Khas, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), Pas Penggajian (Employment Pass) yang masih sahlaku dan warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.
Pasukan operasi telah merampas sejumlah kondom, dokumen premis, rekod perniagaan, kunci premis, peralatan seks, 32 naskhah pasport China, 15 naskhah pasport Vietnam, 8 naskhah pasport Thailand, 2 naskhah pasport Indonesia, 1 naskhah pasport Myanmar, wang tunai sebanyak RM14,155.00, 12 unit telefon bimbit, kad perakam waktu, tuala dan peralatan kamera litar tertutup (CCTV).
Modus operandi sindiket di 2 premis ini adalah melakukan promosi wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan Whats App. Wanita warganegara asing yang dipilih akan diuruskan oleh lelaki warganegara Malaysia yang dipercayai sebagai penjaga premis sebelum pelanggan ke bilik yang disediakan. Bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan di premis antara RM200.00 hingga RM500.00 dan untuk outcall girl bayaran yang dikenakan adalah antara RM800.00 hingga RM1,000.00. Transaksi bayaran yang dilakukan pelanggan adalah melalui tunai atau secara dalam talian sebelum perempuan warganegara asing diserahkan kepada pelanggan.
Modus operandi sindiket di 3 premis yang lain adalah menyediakan perkhidmatan pelayan perempuan warganegara asing dan mensasarkan kepada pelanggan tetap sahaja dengan membuat tempahan melalui panggilan telefon. Terdapat laluan masuk dan keluar selain pintu masuk utama bagi pelanggan dan pelayan perempuan warganegara asing sekiranya pihak berkuasa melakukan pemeriksaan. Untuk tempahan bilik, pelanggan dikenakan bayaran antara RM800.00 hingga RM10,000.00 mengikut kategori bilik manakala untuk tempahan wanita warganegara asing dikenakan bayaran RM150.00 bagi 1 jam. Sindiket ini telah beroperasi selama 1 tahun dan telah mengaut keuntungan sebanyak RM24,000.00 sebulan.
Semasa serbuan dilakukan di 3 premis ini, perempuan warganegara asing yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan cuba lari dan bersembunyi di bilik-bilik rahsia yang dibina khas bagi mengaburi pegawai penguatkuasa termasuk bersembunyi di atas syiling dan bumbung bangunan pusat hiburan, namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan oleh anggota serbuan. Terdapat juga pelanggan yang cuba melakukan provokasi dengan membuat bising dan cuba menghalang pasukan melakukan penggeledahan namun tindakan tersebut turut berjaya dipatahkan.
Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ipoh, Perak untuk tindakan lanjut. Manakala 7 orang lelaki warganegara Malaysia dan 3 orang perempuan warganegara Malaysia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63. Seramai 69 orang lelaki warganegara Malaysia, 2 orang lelaki warganegara Bangladesh dan seorang perempuan warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
JAFRI BIN EMBOK TAHA
TIMBALAN KETUA PENGARAH (OPERASI)
JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
#imigresen #jim #kdnmadani #MalaysiaMadani #KDN_TogetherWeAreOne #KeselamatanTanggungjawabBersama
© 2024 Unit Komunikasi Korporat | JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
Jom Ikuti Media Sosial Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
➡️ https://t.co/4W2bb4XoGI