"SUAMI ISTERI GUNA PASPORT PALSU DIPENJARA"



TEMERLOH - Sepasang suami isteri warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen PATI Kemayan semalam kerana memiliki pasport Indonesia yang telah dipalsukan.


Hakim Ahmad Rizki bin Abdul Jalil menjatuhkan hukuman penjara 8 bulan ke atas Iwan Shah Putra, 38, dan penjara 7 bulan ke atas Rapika Dewi, 41, setelah kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap perbuatan mereka yang menyalahi Seksyen 12(1)(a) Akta Pasport 1966.


Iwan Shah Putra juga dijatuhi hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara yang palsu, dan hukuman penjara 6 bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah, manakala isterinya turut dijatuhi hukuman penjara 8 bulan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.


Kedua-dua tertuduh ditangkap oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang pada 4 Januari 2024 lalu di rumah sewa mereka di Kampung Jaya Gading, Kuantan.


Dalam pada itu mahkamah yang sama juga menjatuhkan hukuman penjara antara 5 hingga 8 bulan ke atas 21 orang imigran Myanmar dan 5 Indonesia serta denda RM1,000 ke atas seorang imigran Bangladesh atas kesalahan masing-masing.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa JIM Pahang Kamal Azmil Abdul Ghafar, Rosemi Daud dan Anuar Kamal Arifin.


Jabatan Imigresen Malaysia

Friends Of Immigration.

Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Pahang Media

Depot Imigresen Kemayan Pahang