VIDEO DR AGUS, KERAJAAN JANGAN LARI DARI REALITI


Sejak awal lagi nampaknya terdapat kecenderungan untuk membina naratif bahawa isu berkaitan video Dr Agus yang hangat diperkatakan sejak tiga empat hari lalu tiada kena mengena sama sekali dengan kerajaan, PH mahu pun PKR.


Hujah yang cuba dipakai ialah Prof Dr Agus Mohd Agus Yusof bukanlah ahli mana-mana parti dalam PH, selain sudah pun meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah J-Kom.


Ada yang mengatakan Dr Agus bukanlah seperti Azmin Ali yang ada jawatan penting dalam parti dan kerajaan.


Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil paling awal memberi reaksi bahawa kes Dr Agus tiada kaitan lagi dengan kerajaan kerana beliau sudah pun menghantar surat perletakan jawatan.


Soalnya, kenapa kerajaan cuba mahu lari daripada realiti?


Walaupin video Dr Agus hanya tersebar selepas beliau menghantar surat perletakan jawatannya pada 15 November lalu, tetapi notisnya adalah selama sebulan dan hanya sah pada 15 Disember depan.


Ini bermakna, Dr Agus ketika ini masih lagi dalam jawatan yang disandangnya, cuma barangkali mungkin sedang menghabiskan cutinya sebelum berundur pergi.


Selain itu, kejadian perbualan itu sudah tentu berlaku ketika beliau masih memegang jawatan Ketua Pengarah J-Kom.


Dengan demikian, untuk mengatakan isu video berkenaan tiada kena mengena dengan kerajaan adalah tidak tepat sama sekali.


Isu melibatkan video Dr Agus bukan saja terkait dengan kerajaan, malah harus juga disedari bahawa J-Kom adalah sebuah agensi yang terletak PMO atau Pejabat Perdana Menteri.


Dalam hal ini, selaku jurucakap rasmi kerajaan, Fahmi tidak harus lari daripada realiti, sebaliknya mesti tampil menanganinya dengan cara paling bijaksana dan tidak menjejaskan sedikit pun nama baik Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.


Lari daripada realiti bukanlah pilihan yang boleh diberikan pujian.


Di samping itu, walaupun Dr Agus bukan ahli mana-mana parti, tetapi difahamkan rakan bualnya yang bernama Wahab itu adalah Naib Ketua AMK sebuah cabang di Selangor.


Maklumat ini telah dikongsi banyak pihak dalam pelbagai platform media sosial sejak awal lagi.


Carian di laman FB AMK cabang berkaitan mendapati ia sudah tidak boleh diakses lagi ketika ini.


Tetapi, dalam masa yang sama tiada sebarang penafian berkaitan jawatan parti yang dipegang oleh Wahab sebagaimana dihebohkan itu.


Dipendekkan cerita, berdasarkan semua fakta yang ada, baik berkaitan kerajaan atau PH, khususnya PKR, isu video Dr Agus itu tidak boleh dikesampingkan begitu saja dan tidak boleh juga dibuat tak tahu saja.


Ia adalah sebahagian cabaran yang perlu dihadapi dengan matang dan paling penting, pastikan sebaik mungkin tidak berlaku lagi perkara-perkara sebegini di masa depan. – ShahbudinHusin 19/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/19/video-dr-agus-kerajaan-jangan-lari-dari-realiti.html



No comments: