Oleh: Abdullah Zaid
Keutamaan kempen bagi jentera KEADILAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman seharusnya tertumpu kepada penggunaan media sosial bagi memikat hati pengundi
Hal itu dinyatakan oleh Pengarah Biro Komunikasi dan Penerangan KEADILAN Cabang Kemaman, Ahmad Nadhir Yob.
Kata beliau, naratif kerajaan perlu diterjemahkan menerusi platform media sosial untuk menarik perhatian orang ramai, khususnya generasi muda.
"Jika kita tengok peranan Tiktok yang berjaya memberi tafsiran yang mudah dah cepat untuk difahami berbanding platform media sosial yang lain lebih terarah kepada penjelasan berbentuk cerita dan pengguna perlukan interaksi
"Penyampaian dalam Tiktok lebih mudah kerana pengguna hanya perlukan 15 saat hingga 30 saat dah cukup untuk mempengaruhi naratif yang hendak disampaikan," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Justeru itu, tegas beliau, dalam tempoh 14 hari berkempen, jentera perlu memainkan peranan untuk membina dan mengawal naratif yang dibawa kerajaan bagi membolehkan kemenangan dalam PRK kali ini.
"Ia penting kerana jika kita tidak mengambil usaha untuk mengawal naratif jahat yang dimainkan pihak lawan dalam kempen nanti, ia akan membenamkan terus segala usaha kempen yang dilakukan," katanya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK berkenaan yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dijangka kira-kira 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.