Oleh: Abdullah Zaid
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman,
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyifatkan
pendekatan politiknya adalah konsep khidmat yang menjadi panduan untuknya
bergerak sehingga ke akar umbi.
Dengan tekad ‘Kemaman untuk Kemaman’, calon anak jati memberi
jaminan untuk menyelesaikan masalah utama yang membelenggu buat warga itu
"Buat masa sekarang kita ambil dan tumpu apa yang disuarakan
oleh rakyat sebagai input untuk kita selesaikan secara immediate dan perkara
yang memerlukan proses jangka masa tertentu akan dibawa ke Kerajaan
Persekutuan," katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM)
Kampung Chabang, Kerteh, hari ini.
Dalam pada itu, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
tersebut menganggap musim hujan akibat angin Monsun Timur Laut itu tidak
menghalang pergerakannya bertemu dengan seramai mungkin pengundi di Kemaman.
Jeneral (B) Affandi mendengar masalah pengundi Kemaman
Justeru, Raja Mohamed yang lebih mesra dipanggil Affandi itu
berkata, beliau tidak mahu membuang masa malah tetap meneruskan kempen walaupun
dalam keadaan hujan.
"Hujan bukan halangan bagi saya untuk berkempen, bertemu
pengundi dan tidak akan buang masa (berkempen) dalam masa agak singkat ini.
"Masa itu emas, dalam keadaan agak singkat dan cuaca tidak
menyebelahi kita, apa yang ada pada waktu itu, saya ambil, saya buat.
"Lagipun saya askar, hujan tidak menjadi halangan buat
saya," jelasnya lagi.
Dalam tempoh berkempen pada 18 November hingga 2 Desember ini,
Affandi (calon nombor satu) bakal merebut kerusi Parlimen Kemaman dengan calon
Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri
Besar Terengganu dan Naib Presiden Pas.
Kira-kira 141,790 pengundi diberi hak untuk menunaikan
tanggungjawab masing-masing dalam memilih calon baharu bagi kerusi itu setelah
penyandangnya Che Alias Hamid dibatalkan kemenangan oleh Mahkamah Pilihan Raya
Terengganu pada 26 September lalu.