AKHIRNYA BARU MUNCUL SUARA FAHMI FADZIL TENTANG DAPATAN MERDEKA CENTER…


Kerajaan mengambil maklum laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung pentadbiran setahun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan melihatnya daripada sudut pandang positif untuk menambah baik usaha menyelesaikan masalah, termasuk isu ekonomi.


Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam kenyataan berkata, kerajaan mengambil maklum laporan berkenaan walaupun ia bersifat “snap shot” atau “keratan rentas” ketika itu.


“Seperti yang disebut perdana menteri pada majlis sambutan setahun kerajaan perpaduan di Putrajaya pada 23 Nov lalu, tahun depan kerajaan akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi, termasuk pendapatan rakyat.


“Insya Allah, dengan dasar Ekonomi Madani, Pelan Induk Industri Baru (NIMP) 2030, usaha membanteras rasuah dan menambah baik tadbir urus kerajaan, termasuk memudah cara perniagaan dan pelaburan, hala tuju pertumbuhan ekonomi berada di landasan betul.”


Jurucakap kerajaan perpaduan itu mengulas laporan media mengenai kaji selidik Merdeka Center berhubung kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai perdana menteri merosot daripada 68% pada Disember 2022 kepada 50%.


Semalam, Anwar dalam responsnya berkata, beliau mengambil maklum perkara itu, tetapi maklum balas itu daripada 1,200 orang, bukannya 32 juta rakyat Malaysia.


Sementara itu, Setiausaha Politik Kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, hasil kajian itu tidak menggambarkan pandangan keseluruhan rakyat Malaysia, sebaliknya hanya sekumpulan responden saja.


Katanya, rating kelulusan yang diterima Anwar itu lebih meyakinkan berbanding kerajaan sebelum ini, misalnya Dr Mahathir Mohamad kira-kira 30% dan Muhyiddin Yassin antara 30% hingga 40%.


“Pada saya, selepas setahun, kalau betul itu tinjauan mewakili seluruh rakyat Malaysia, kita ada banyak lagi ikhtiar untuk memastikan majoriti rakyat, 32 juta rakyat ini dapat dijaga dengan baik oleh kerajaan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.


Sumber – Bernama.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/25/akhirnya-baru-muncul-suara-fahmi-fadzil-tentang-dapatan-merdeka-center.html



No comments: