Pelan struktur KL perlu ditambahbaik, diwartakan segera - Anwar


 

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta supaya segera melaksanakan penambahbaikan Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040).

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan taklimat bagi mendengar dan meneliti laporan sesi libat urus pindaan Draf PSKL 2040 bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL pada Isnin turut meminta supaya dokumen itu diwartakan sebelum penghujung tahun ini.



Dalam satu kenyataan, PM pada dasarnya berpuas hati dengan laporan sesi libat urus yang dibentangkan.

Namun katanya, DBKL perlu memberikan tumpuan kepada mengekalkan kawasan rizab hutan dan kawasan lapang bagi memastikan matlamat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau, sihat dan rancak tercapai.



Selain itu, beliau bersetuju supaya perumahan mampu milik diperluas bagi menampung permintaan oleh warga Kuala Lumpur.



"Cadangan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik melalui konsep Kejiranan Madani di Kuala Lumpur



"Kerajaan amat komited bagi memastikan penyediaan PSKL 2040 ini komprehensif dan bersifat inklusif untuk rakyat selaras dengan visi Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua," kata dalam kenyataan itu.



Anwar berkata berdasarkan pelanjutan sesi libat urus yang diadakan pada 18 hingga 26 Mei lepas, DBKL menerima sebanyak 639 pandangan daripada 425 peserta yang hadir.



PSKL 2040 adalah antara komponen utama Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 yang mengandungi visi, matlamat, hala tuju strategi dan tindakan untuk memandu Kuala Lumpur bagi 20 tahun akan datang.



Antara kandungan draf PSKL 2040 adalah mengintegrasikan penggunaan tanah dengan perancangan infrastruktur, pengangkutan, penyediaan perumahan mampu milik, pekerjaan, kemudahan awam serta peningkatan kualiti alam sekitar dan ruang awam.