PENGUNDI KINI WAJIB TOLAK SANUSI DAN PARTI YANG DIWAKILINYA

 

Setelah berhari-hari cuba mempertahankan keceluparan dan kebiadapannya terhadap Raja-Raja, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor akhirnya bertemu buku dengan ruas apabila didakwa di mahkamah atas dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Tuduhan pertama kerana menghasut berhubung perlantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan Selangor dan tuduhan menghasut kedua berikutan tindakannya mempertikaikan penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU15 lalu yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, Sanusi didakwa telah melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan-perkataan yang mempunyai maksud untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Raja-Raja.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan terhadapnya mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Apa yang nyata, kedua-dua pertuduhan yang dihadapkan kepada Sanusi itu adalah berdasarkan kesalahan yang dikira amat berat telah dilakukannya iaitu cubaan membangkitkan perasaan tidak setia kepada Raja.

Sebagai pemimpin Melayu/Islam di negara ini dan Sanusi sendiri adalah ketua sebuah kerajaan negeri yang mempunyai Raja, bahkan kedudukan Raja-Raja sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, apa yang dilakukan Sanusi, selain tidak wajar, tetapi juga tidak tidak boleh diterima sama sekali.

Jika inilah perangai dan kelakuan pemimpin Melayu/Islam yang ada di negara ini, sementelah pula beliau adalah mewakili Pas, sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, maka siapa lagi yang mahu menghormati dan mendaulatkan Raja-Raja kita?

Kalau tiada Raja-Raja juga, siapa lagi mahu melindungi kita semua?

Sebab itu, pertuduhan yang dikenakan kepada Sanusi adalah tepat dan wajar agar ia menjadi pengajaran kepada seluruh rakyat negara ini.

Dalam hal ini, titah Sultan Selangor semalam yang menyatakan isu Sanusi masih belum selesai, walaupun setelah Pesuruhjaya Pas negeri mengadap baginda, haruslah menjadi renungan dan pedoman yang berpanjangan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ini kerana perbuatan menghasut atau mengajak kepada kecenderungan tidak setia kepada Raja tidak harus dibiarkan berlaku begitu saja.

Dengan pemimpin sendiri sanggup melakukan hal yang tidak baik terhadap Raja, ia lebih mungkin mendorong rakyat biasa melakukan hal yang sama.

Dalam konteks PRN yang bakal tiba ini, ia adalah masa terbaik dan menjadi kewajipan kepada pengundi untuk menolak Sanusi dan parti yang diwakilinya di mana saja mereka meletakkan calonnya.

Sudah sampai masanya perbuatan Sanusi ini dihukum, selain melalui peruntukan undang-undang, juga melalui suara rakyat yang menolak secara mutlak kebiadapannya terjadap Raja-Raja.

Tidak cukup dengan selama ini menunggang agama dan menanamkan bibit perpecahan dalam masyarakat, kini Raja-Raja pun mahu diheret sama yang didorong oleh kerakusan terhadap kuasa.

Begitukah kelakuan pemimpin dan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam? – ShahbudinHusin 18/07/2023.