Malaysia perlu dipertahankan daripada anasir perkauman yang memecah-belah, kata Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah yang
dikongsi di laman Facebook dan Twitternya, PM berkata keamanan dan kestabilan
kini menjadi maqasid utama agar kebajikan rakyat terbela.
Sebarang usaha untuk merubah negara yang berperlembagaan dan
berdaulat ini kepada negara perkauman yang huru-hara tegasnya, tidak akan
dibiarkan walau seinci pun.
"Justeru, menjelang sambutan Hijrah 1445 ini, marilah kita
bertekad untuk melakukan hijrah yang hakiki.
"Berhijrah daripada kemungkaran kepada kebaikan, daripada
kebejatan rasuah kepada amanah, daripada ketaksuban kepada minda yang merdeka,
dan daripada perkauman sempit kepada taayush silmi (hidup bermuafakat),"
katanya.
Melalui kenyataan sama, Presiden KEADILAN itu turut mengimbau
sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dalam mendirikan kota Madinah.
Rasulullah jelasnya meletakkan asas tatacara dan tatakelola sistem
pemerintahan Islam dengan pengajaran dan kefahaman mengenai soal akhlak, nilai
dan prinsip.
Tambah beliau, daripada didikan kerohanian itu, maka terbitnya
dasar kenegaraan yang mencerminkan sikap rahmah dan adil buat semua
"Walhasil, penghijrahan Rasul membenam faham perkauman.
Pakatan para Muhajirin bersama Ansar, dan sebelumnya bersama Raja Ashamah,
pemerintah negeri Habsyah mencerminkan semangat kerjasama dalam perkara makruf.
"Kota Madinah dilatari kepelbagaian agama, budaya dan bangsa
kemudiannya didirikan atas nama umat yang satu. Demikianlah hijrah Rasul dan
para sahabat menjadi ibrah segar sepanjang zaman," katanya.
Majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H akan
diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini dengan tema
"Perpaduan Teras Malaysia MADANI".