MUHYIDDIN TAK ADA MODAL, ASYIK CERAMAH ISU TELUR



RIDUAN SAMSUDIN

 Pengerusi Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak terus berceramah isu tidak cukup bekalan telur di pasaran kerana pada ketika PN memerintah, bekalan telur pernah tidak stabil berbulan bulan lamanya.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, jika Mahiaddin tidak ada cara untuk pulihkan bekalan telur seeloknya beliau berceramah isu lain.

“Tan Sri Muhyiddin dalam ceramah dia tak habis-habis sembang telur tak cukup. Paling kurang sebagai bekas seorang Perdana Menteri, saya harap bila berceramah beliau boleh tawarkan penyelesaian dan cadangan untuk bantu ekonomi rakyat dan bukan cerita dia mula pelihara ayam.

“Cerita ayam dan telur tak cukup semua ini sebenarnya bermula dari zaman Perikatan Nasional,” kata Rafizi di Facebook.

Tegas Timbalan Presiden KEADILAN itu, kekurangan bekalan telur dan ayam adalah disebabkan kelemahan kerajaan PN era Mahiaddin bertindak menstabilkan bekalan sejak 2021, mengakibatkan gangguan bekalan pada 2022.

Hal itu katanya, dampak daripada kegagalan kelemahan beliau mengesan kenaikan kos makanan ternak dan insentif segera kepada penternak bagi mengelakkan kerugian gagal disediakan sehingga banyak penternak menghadkan pengeluaran atau menutup ladang.

“Inilah yang berlaku sejak setahun lalu kerana kegagalan kerajaan pada ketika itu tangani masalah ayam di peringkat bekalan (“supply side”).

“Sementara kerajaan menetapkan harga siling, penternak-penternak ayam tidak dibantu dan menjual ayam pada harga yang ditetapkan dengan kos yang merugikan.

“Ambil contoh kos seekor ayam adalah RM11 tetapi mereka dipaksa jual pada harga RM9 tanpa ada apa-apa insentif yang membantu menyelesaikan masalah penternak.

“Akibatnya penternak berhenti pelihara ayam. Ini menyebabkan bekalan ayam mula terganggu dan harga ayam semakin melambung.

“Saya harap sudah-sudahlah bercakap tajuk yang sama dalam setiap ceramah dan mula tawarkan penyelesaian sebenar kalau PN betul-betul ada cara yang lebih baik dari kami,” kata Rafizi lagi.