KES SANUSI SERIUS, SENTUH MARUAH RAJA MELAYU


 Penggunaan Akta Hasutan ke atas Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor dilakukan bersesuaian dengan kes yang membabitkan Raja raja Melayu.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kes Sanusi dianggap serius kerana melibatkan maruah sultan yang dipersenda.

“Dari segi dasarnya kita elak penggunaan Akta Hasutan tetapi bila menyentuh kedudukan raja raja (hal itu jadi lain). Kritik Perdana Menteri tak pernah gunakan itu (Akta Hasutan) sebagai satu alasan (pendakwaan).

“Tetapi ini soal kedudukan dan martabat raja raja yang harus kita pelihara dan sanjung. Kena elak (raja raja) daripada menjadi satu wacana atau perbahasan politik yang tidak sihat,” katanya di hadapan pemberita merasmikan Program Sentuhan Agro MADANI Peringkat Negeri Selangor.

Menurut PM lagi, penyokong Sanusi harus melihat kronologi peristiwa ucapan pemimpin Pas itu sehingga berlakunya pendakwaan.

Katanya, bukan sahaja orang ramai yang membuat laporan polis tetapi juga Dewan di-Raja Selangor berbuat demikian.

Oleh itu, tuduhan yang menyatakan pendakwaan sengaja dilakukan secara terburu buru oleh Kerajaan Perpaduan kerana hampir tarikh Pilihan Raya Negeri adalah tidak benar.

“Tengok siapa yang buat laporan, Dewan di-Raja Selangor. Itu kita kena tengok.

“Kemudian apa komen Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor semalam

“Kes tak selesai. Jadi saya ingat ikut proses (pendakwaan) itu,” katanya.

Pagi tadi, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Beliau didakwa berhubung ceramahnya di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai lalu.

Dalam ceramah itu Sanusi mempersoalkan pelantikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari oleh Sultan Selangor. Sanusi juga membandingkan Kesultanan Selangor dan Kedah.

“Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok Menteri Besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih Menteri Besar cokia macam Amir (Amirudin).

“Inci pun tak berapa cukup.”

Susulan ungkapan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis ke atas ucapan Sanusi.