KALAU GIRLFRIEND TAK JAWAB PANGGILAN, KITA PUN AKAN CARI SAMPAI KE RUMAH JUGA

 


Pelbagai pihak didapati meluahkan rasa tidak senang dan sedikit marah dengan tindakan pihak polis menahan Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor pada jam 3.00 pagi.

Mereka menyifatkan penahanan Sanusi pada waktu subuh itu adalah tindakan keterlaluan, tidak wajar, berlebih-lebih dan tidak sesuai kerana kedudukannya sebagai ketua kerajaan negeri.

Mereka berhujah lagi bahawa kes yang dhadapi Sanusi bukan berkaitan jenayah serta beliau dikatakan tidak berpotensi sama sekali untuk melarikan diri.

Sanusi ditahan sekumpulan polis di sebuah hotel di Mont Kiara semalam untuk dibawa di IPD Gombak, sebelum diiringi untuk ke Mahkamah Majistret Selayang pada jam 9.00 pagi bagi menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan.

Meskipun Ketua Polis Negara, Razarudin Husain telah tampil menjelaskan tindakan terhadap Sanusi itu terpaksa diambil kerana Pengarah Pilihanraya PN itu tidak menjawab, malah menolak (reject) panggilan melalui telefonnya, mereka yang tidak puas hati dan marah itu terus juga membebel lagi.

Mereka mengatakan, menahan orang pada waktu subuh bukanlah amalan yang patut dalam sebuah kerajaan madani.

Jika kita teliti penjelasan daripada Ketua Polis Negara, bukan saja Sanusi tidak menjawab dan menolak panggilan daripada pihak polis, malah beberapa pegawai Sanusi yang dihubungi juga turut berbuat hal yang sama.

Mungkin benar Sanusi tidak mungkin melarikan diri, tetapi dengan tidak menjawab dan menolak setiap panggilan pihak polis, bukanlah mustahil beliau akhirnya tidak muncul di mahkamah.

Apa lagi sebelum itu ketika telah heboh berita mengenai pendakwaannya dilaporkan media dan sudah dimasukkan dalam jadual mahkamah, Sanusi dilaporkan masih memberitahu beliau belum dimaklumkan lagi mengenainya.

Sanusi Oh Sanusi…macam mana hang nak maklum kalau panggilan pihak polis pun tak berani nak jawab?

Kenapa Sanusi dan pegawai-pegawainya tidak menjawab dan menolak panggilan daripada pihak polis?

Apa sebenarnya akal yang ingin dilakukannya?

Sesibuk mana pun, takkan seminit dua tak boleh jawab panggilan?

Lepas tu kenapa tolak atau reject pula panggilan pihak polis?

Kalau ia pun sibuk bebenar pada waktu panggilan itu diterima, kenapa tidak membuat panggilan semula kepada nombot yang membuat panggilan?

Sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan orang yang kena tuduh hadir di mahkamah, sudah pasti pihak polis bimbang dengan keadaan sebegitu.


Jadi, itulah sebabnya Sanusi didatangi pihak polis pada jam 3.00 pagi.

Pokoknya kalau panggilan dijawab dan tidak di-reject atau melakukan panggilan semula, tiada sebab untuk pihak polis datang pada pukul 3.00 pagi mencari Sanusi

Kalau kita masih ingat ketika muda-muda dulu, kalau girlfriend atau buah hati kita tidak dapat dihubungi dan tidak menjawab panggilan telefon, akhirnya kita pun akan segera mencarinya sampai ke rumah atau tempat kerjanya.

Begitu juga, jika panggilan daripada bank kerana bayaran kereta ada tertunggak berbulan-bulan, tukang tarik juga akan datang sampai ke rumah kita akhirnya.

Ertinya, mencari sampai ke rumah jika gagal dihubungi adalah perkara biasa.

Makanya, lain kali jawablah panggilan telefon, lebih-lebih lagi bagi yang bermulut celupar, terutama terhadap Raja-Raja serta sedar telah banyak laporan polis dibuat terhadap mereka.

Atau lagi mudah, jadilah orang baik-baik. – ShahbudonHusin 19/07/2023.