Atas kedua-dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di bawah Akta Hasutan, Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor telah membuat pilihan untuk mengaku tidak bersalah di mahkamah.
Ini bermakna, kes beliau yang mempertikaikan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin Shari sebagai Menteri Besar dan kewujudan kerajaan perpaduan yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong, akan dibicarakan di depan hakim.
Tetapi, sebelum ini Sanusi telah pun mengutus surat kepada Sultan Selangor untuk memohon ampun dan maaf atas keceluparannya itu.
Bukankah dengan mengutus surat kepada baginda Sultan Selangor itu bermakna Sanusi sendiri mengakui kesalahannya, tidak kiralah sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja?
Kalau sudah mengakui begitu, kenapa sekarang beliau memilih untuk mengaku tidak bersalah di mahkamah dan mahu kesnya dibicarakan?
Apa yang ingin Sanusi buktikan?
Kes melibatkan Sanusi ini bukanlah kes politik, tetapi kerana menyentuh kedudukan Raja-Raja di mana yang turut membuat laporan polis terhadapnya ialah Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor sendiri.
Selain mengutus surat memohon ampun, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi turut mengadap Sultan Selangor, semalam.
Walaupun tidak diketahui tujuan serta butiran majlis mengadap itu, adalah dipercayai ia juga bertujuan memanjangkan permohonan maaf atas keceluparan Sanusi itu serta memberi penjelasan berkenaan dengannya.
Bagaimanapun, selepas itu, Istana Sultan Selangor mengeluarkan kenyataan isu berkenaan masih belum selesai.
Dan berikutan Sanusi membuat keputusan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadapnya, bermakna isu dan kes ini menjadi lebih jauh daripada titik penyelesaiannya.
Ia akan terus menjadi panjang dan dipanjang-panjangkan.
Sepatutnya, malah amat terpuji, lebih baik sebenarnya jika Sanusi membuat pilihan mengaku bersalah saja atas kedua-dua kesalahan yang dikenakan terhadapnya itu.
Dengan mengaku bersalah, bukan saja isu kebiadapan dan keceluparannya dapat dinoktahkan serta-merta, malah ia menunjukkan sikap merendah diri dan kesetiaan tidak berbelah bahagi Sanusi sebagai rakyat terhadap Raja atas isu yang dipertikaikannya itu.
Kes akan segera tamat dan ia tidak menarik lagi untuk dijaja atau dipanjangkan dan Sanusi akan lebih dipuji berana memilih beralah atas kebiadapan dan keceluparannya terhadap dua Raja – Sultan Selangor dan Yang Dipertuan Agong. – ShahbudinHusin 18/07/2023