Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru pemimpin politik yang akan mula berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam dua minggu akan datang agar tidak menyentuh isu Raja, Agama dan Kaum (3R).
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, menjaga sensitiviti masyarakat lebih utama berbanding kempen atau kemenangan pilihanraya.
“ABIM melahirkan rasa dukacita bila mana terdapat sesetengah pemimpin politik yang ghairah berkempen tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat, apa lagi menyentuh isu 3 R
“ABIM berpendirian, mana-mana pemimpin politik harus menjaga adab, tatasusila, sensitiviti masyarakat serta bertanggungjawab mempertahan nilai perpaduan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merujuk titah Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di mana tindakan tegas dan segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak, sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran serta membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum.
Menurut Faisal lagi, titah yang disampaikan ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Disember lalu itu sangat relevan dilaksanakan pada ketika ini bagi mengelakkan perpecahan masyarakat.
“Atas peringatan itu, ABIM berpandangan bahawa tindakan serta merta harus dilakukan terhadap mana-mana pemimpin yang cuba memanipulasi isu 3R.
“Kesan terhadap manipulasi 3R sangat besar, kerana ia mudah untuk mencetuskan keretakan dalam masyarakat.
“Sudah sampai masa ahli politik serta penggeraknya didisiplinkan untuk fokus berkempen atas dasar dan perancangan yang meningkatkan kualiti hidup rakyat ketika ini atau generasi mendatang,” katanya.
Faisal juga menegaskan dalam konteks sebagai seorang Muslim, Islam tidak menjustifikasikan fitnah, politik kebencian, serta pembunuhan atau perlecehan karakter sebagai sebahagian daripada perjuangan siasah.