JIKA SURAT AKUJANJI ITU PALSU, IA KERJA SIAPA?

 Sejak petang semalam, berlegar satu surat akujanji melibatkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN bagi kerusi Parlimen Lenggong, Shamsul Anuar Nasarah.

Isi akujanji itu antara lain ialah ikrar menyokong Zahid Hamidi sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang, bersetuju agar dihentikan semua siasatan terhadap pemimpin parti dan menyokong pembentukan kerajaan dengan mana-mana parti lain.

Bagaimanapun, tidak lama selepas surat itu beredar, Shamsul Anuar tampil dengan menegaskan ianya adalah palsu dan tidak benar.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi BN berkata, tiada sebarang akujanji sebegitu dilakukan.

“Perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan suatu perancangan untuk memburukkan UMNO dan BN ketika musim kempen PRU15,” katanya pada satu kenyataan di Facebook media rasmi BN Comms.


Secara peribadi, saya sendiri yakin surat itu adalah palsu dan tidak benar.Tidak mungkin Zahid Hamidi tidak secerdik itu mahu membuat surat akujanji sedemikian yang kandungannya adalah untuk kepentingannya.

Lagi pula, jika wujud akujanji sedemikian, ia sudah tentu akan ditandatangani oleh semua calon BN, termasuk mereka yang memihak kepada Ismail Sabri Yaakob dan Ismail Sabri sendiri.

Sudah pasti juga bukan satu akujanji yang bergentayangan di media sosial sekarang ini, malah berpuluh-puluh.

Tambahan lagi, isu calon Perdana Menteri bagi BN boleh dikira isu yang sudah selesai dengan Ismail Sabri telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri dan ia tidak seharusnya berbangkit lagi.

Cuma, jika akujanji itu palsu, ia kerja siapa?

Adakah ia kerja daripada kem pemimpin yang digugurkan sebagai calon BN koleh Zahid Hamidi baru-baru ini dengan tujuan untuk merosakkan imej Presiden UMNO itu di mata rakyat?

Adakah ia kerja blok pembangkang?

Atau adakah ia mainan kem Zahid Hamidi sendiri untuk tujuan yang mereka saja tahu maksudnya?

Bagi kem Ismail Sabri pula, tidak ternampak ada logiknya untuk mereka merekayasa akujanji palsu seperti itu kerana ia jelas tidak membawa apa-apa keuntungan.

Begitu juga dengan blok pembangkang, tidak ada isu mereka perlu berbuat demikian kerana yang ingin dikalahkan oleh mereka ialah BN secara keseluruhan, bukannya salah satu antara Zahid Hamidi atau Ismail Sabri.

Jadi, ada dua pihak saja yang tinggal – kem Zahid Hamidi sendiri atau daripada kem calon-calon UMNO yang digugurkan – dan antara keduanya, siapakah yang paling mungkin melakukan surat palsu itu?

Satu lagi, kenapa surat akujanji yang disebarkan itu hanya melibatkan Shamsul Anuar yang diketahui umum memang penyokong ketat Zahid Hamidi dan diketahui berjawatan Pengarah Komunikasi BN?

Kenapa tidak melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain? – ShahbudinHusin 03/11/2022.