Menjelang PRU-15, nilai ringgit terus menjunam menghampiri RM4.80



Nilai mata wang ringgit terus merosot pagi ini berbanding dolar Amerika, menyusut menjadi 4.7420/7450 berbanding dolar AS daripada penutupan Selasa pada 4.7345/7375.

Kejatuhan ringgit terburuk dalam sejarah negara ini untuk lima hari berturut-turut semasa negara sedang bersiap-sedia mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November depa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS sekali lagi meningkat berbanding ringgit menjelang keputusan kadar faedah AS pada hari Rabu.

“Fed dijangka menaikkan kadar faedah sebanyak 0.75 peratus. Sekiranya kenaikan itu menjadi kenyataan, ia kenaikan keempat berturut-turut pada kadar peratusan berkenaan.

“Kenaikan yang sejajar dengan jangkaan mungkin menyaksikan nilai dolar jatuh pada mulanya, kerana pasaran telah pun mengambil kira kenaikan ini.

“Justeru, pelabur akan memberi perhatian kepada kenyataan Fed pada sidang media selepas pengumuman keputusan itu, yang akan menetapkan hala tuju untuk langkah dasar monetari masa depan,” katanya menurut laporan Bernama.

Selain itu, beliau berkata pelabur juga perlu menghalakan tumpuan kepada keputusan kadar faedah Malaysia yang akan dikeluarkan pada Khamis.

Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur menaikkan Kadar Dasar Semalaman daripada 2.5 peratus kepada 2.75 peratus, peningkatan yang jauh lebih kecil daripada yang dijangkakan di AS.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 4.6879/6909 daripada 4.7033/7062 pada penutup Selasa, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3536/3562 daripada 3.3571/3595, dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.4547/4582 daripada 5.4608/4642.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun pada 3.2202/2224 daripada 3.2107/2130 semalam.

No comments: