Ringgit terus menjunam pagi ini, indeks saham jatuh 4.96 mata










 Ringgit terus jatuh ketika diniagakan pagi ini (Khamis, 3 November 2022) berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah peniaga mengambil langkah berhari-hari menjelang mesyuarat Bank Negara Malaysia (BNM) yang mungkin menaikkan lagi kadar dasar semalaman (OPR).

Pada 9 pagi, ringgit jatuh kepada 4.7410 berbanding dolar AS, setelah ditutup pada 4.7360 semalam.

Pelabur kini dikatakan sedang menunggu keputusan BNM mengenai kadar faedah Malaysia yang akan diumumkan hari ini.

BNM dijangka menaikkan OPR daripada 2.5 peratus kepada 2.75 peratus sekali gus akan menaikkan kadar faedah kepada pinjaman.

Selain itu, pergerakan ringgit turut dipengaruhi oleh pengumuman Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menaikkan lagi OPR sehingga 75 mata asas (bps).

Fed menaikkan kadar pinjaman penanda aras sebanyak 0.75 mata peratusan, daripada 3.25 peratus kepada 4 peratus pada hari Rabu.

Pengerusi Fed Jerome Powell dilaporkan berkata beliau masih tidak melihat unsur-unsur yang akan memerlukan sela masa dalam kenaikan kadar faedah, tetapi keputusan yang lebih konkrit akan diambil dalam mesyuarat seterusnya pada Disember.

Sementara itu, ringgit dilaporkan didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menokok berbanding euro kepada 4.6566 daripada 4.6910 pada penutup semalam, dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3456 daripada 3.3551 (semalam).

Mata wang tempatan juga naik berbanding pound kepada 5.4019 daripada 5.4445, dan meningkat berbanding yen kepada 3.2169 daripada 3.2185 (semalam).

Sementara itu, Bursa Malaysia dibuka rendah dengan kebanyakan indeks di zon negatif berikutan sentimen belian yang lebih lemah, apabila Wall Street jatuh selepas Fed menaikkan kadar sebanyak 75 bps dan membayangkan kenaikan yang lebih kecil akan menyusul ketika ia terus melawan inflasi.

Pada 9.06 pagi ini, indeks penanda aras FBM KLCI jatuh 4.96 mata kepada 1,446.65, daripada penutupan semalam pada 1,451.61.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 209 berbanding 77, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,824 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 177.37 juta unit bernilai RM47.95 juta.



No comments: