SUSUNAN CALON ZAHID HAMIDI, WALAU ADA CIRI KEBERANIAN, RAMAI YAKIN CUMA MAMPU MENANG KURANG 40 KERUSI PARLIMEN

 

Daripada satu segi, berdasarkan senarai calon-calon BN yang diumumkan semalam, ia dengan ketara menunjukkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memiliki suatu keberanian yang boleh diberikan pujian.

Bukan senang untuk mengenepikan mereka yang berjawatan menteri dan timbalan menteri daripada terus dicalonkan, terutama jika mereka itu masih ghairah dengan jawatan tersebut dan berjawatan tinggi pula dalam parti.

Lima menteri – Shahidan Kassim, Annuar Musa, Noh Omar, Dr. Adham Baba dan Halimah Saddique – telah tidak dicalonkan semula beserta sejumlah timbalan menteri dan mereka yang berpengaruh yang lain sebagaimana diumumkan dalam majlis pengumuman senarai calon yang diadakan malam tadi.

Tetapi, Zahid Hamidi telah berjaya melakukannya sehingga jumlah menteri dan timbalan menteri yang digugurkannya kali ini boleh dikata yang teramai sekali tercatat dalam sejarah UMNO.

Menggugurkan muka lama untuk digantikan dengan muka baru memang suatu langkah terpuji dan proses yang baik untuk masa depan parti.

Tetapi, mengundurkan terlalu ramai menteri dan timbalan menteri dalam keadaan UMNO lemah serta cabaran parti lawan pula kuat tentu saja boleh mengundang masalah.

Bukan saja mereka yang digugurkan itu boleh melakukan sabotaj dan tidak menggerakkan jentera pilihan raya, bahkan mereka juga boleh dipikat oleh parti lawan untuk terus bertanding bagi menentang BN.

Setakat ini Shahidan Kassim dan Annuar Musa nampaknya hampir pasti akan bertanding atas tiket parti lawan bagi menentang calon BN di kawasan yang diwakilinya sebelum ini.

Perkhabaran yang diterima mengesahkan kedua-duanya masih mampu menang, biar pun bertanding atas tiket parti lain.

Kalau pun yang lain yang digugurkan itu tidak turut sama bertanding dan beralih menyokong parti lawan, kekecewaan penyokong terhadap mereka yang tidak terpilih itu akhirnya akan menyebabkan ramai ahli parti jadi lemah semangat, tidak mahu bekerja atau mungkin akan mengundi parti lain.

Semua ini pasti mengurangkan peluang BN untuk menang di kawasan tersebut.

Sementara itu, walaupun terlihat memiliki keberanian, Zahid Hamidi dilihat tidak cukup bijaksana dalam memilih dan mengatur calon-calon baru yang cuba diketengahkannya.

Muka-muka baru yang diketengahkannya dilihat tidak benar-benar berwibawa, bersih, memiliki rekod yang baik serta diterima masyarakat setempat untuk menjadi pengganti yang lebih baik kepada muka lama yang digugurkannya itu.

Sesetengahnya terlalu mentah, baru dalam politik dan tidak setanding imejnya dengan mereka yang digugurkan, walhal ada calon lain dalam bahagian berkenaan yang boleh diketengahkan.

Di sana-sini mulai kedengaran pelbagai cerita tidak baik, malah gambar-gambar calon-calon baru itu dalam keadaan tidak sewajarnya juga mula bertebaran di media sosial.

Semua ini pasti mengurangkan peluang BN untuk menang di kawasan tersebut.

Kali ini juga agak ramai calon luar kawasan atau calon payung terjun ditampilkan – misalnya Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dari Kelantan ke Gerik, Perak; Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan dari Selangor ke Padang Besar, Perlis; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dari Selangor ke Alor Gajah Melaka; Hasni Mohamad dari Pontian ke Simpang Renggam; Dr Mashitah Ibrahim dari Baling ke Kuala Kedah dan Razali Ibrahim dari Muar ke Pagoh.

Harus difahami UMNO adalah parti berdasarkan kawasan dan mereka yang aktif di kawasan itu biasanya akan dipilih sebagai calon di kawasan berkenaan.

UMNO sukar menerima calon luar dan sebab itu jarang-jarang calon UMNO diletakkan bertanding ke kawasan lain, malah ramai yang kalah kerana bertanding di luar kawasan seperti Megat Junid Megat Ayob daripada Pasir Salak tapi kalah apabila dipindahkan bertanding ke Parit.

Bekas Bendahari UMNO, Azim Zabidi juga pernah kalah apabila diarahkan bertanding di Bukit Gantang daripada kawasannya aktif berpolitik di Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan.

Penolakan pengundi tempatan, ditambah dengan UMNO bahagian turut tidak memberi sokongan sebaiknya, ini boleh menyebabkan calon luar atau calon payung terjun berkenaan lebih mudah ditimpa kekalahan.

Di beberapa kawasan lain, perbalahan dalaman, enggan bekerja dan menutup bilik gerakan kerana kerusi di kawasan itu diberi kepada parti komponen juga merupakan masalah yang perlu ditangani oleh UMNO.

Semua itu akhirnya akan menyebabkan jumlah kerusi yang diyakini boleh dimenangi jadi berkurangan.

Berdasarkan pengumuman calon semalam yang dijangka akan menimbulkan lebih banyak masalah yang berangkai, sabotaj di sana sini, mereka yang digugurkan bertanding semula atas tiket parti lain dan ahli parti jadi hilang semangat, harapan BN untuk menang lebih banyak kerusi mungkin tak kesampaian.

Ramai yang menjangka UMNO hanya mampu menang tidak melebihi 40 kerusi Parlimen.

Seorang veteran UMNO tidak ragu-ragu mengatakan, sukar untuk BN menang waima 20 kerusi Parlimen kali ini.

Seorang Ketua UMNO Bahagian berkata, berdasarkan senarai calon semalam, PRU15 kali ini sudah boleh dijangka episod akhirnya. – ShahbudinHusin 02/11/2022.