Perkenal Insentif Demokrasi tingkat tekad anak muda mengundi
Pengundi baharu perlu diberi galakan untuk keluar membuang undi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 ini.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung selepas penguatkuasaan Undi 18 pada 1 Januari lalu dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR) dilaksanakan, terdapat kira kira 5.8 juta pemilih baharu telah ditambah ke dalam daftar pemilih semasa.
Daripada jumlah itu, katanya, 1.2 juta adalah mereka yang berumur di antara 18 hingga 21 manakala 4.6 juta adalah mereka yang berumur 21 tahun ke atas tetapi tidak pernah mendaftar.
“Dalam pertemuan dengan anak-anak muda dan pengundi baru ini, saya mendapati terdapat dua kumpulan dalam kalangan mereka.
“Kumpulan pertama adalah mereka yang tak sedar mereka adalah pengundi dan berhak memilih pimpinan negara. Mereka memerlukan dorongan dan galakkan untuk keluar membuang undi.
“Kumpulan kedua adalah golongan yang bersedia untuk mengundi pada 19 November, tetapi mengalami kekangan kewangan untuk pulang mengundi. Tahap kewangan kumpulan ini belum berdikari kerana ramai masih belajar ataupun baru mula bekerja,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, pagi ini.
Tegas penyandang DUN Semambu itu, Undi18 dan pengundian automatik merupakan satu episod penting dalam sejarah negara.
Katanya, buat kali pertama selepas lebih 65 tahun merdeka semua rakyat Malaysia di atas 18 tahun diberikan hak untuk menentukan nasib negara.
Oleh itu, katanya, kerajaan perlu memberi galakan kepada pengundi baharu ini untuk teruja membuang undi dengan memperkenalkan Insentif Demokrasi.
“Bagi memenuhi hasrat supaya kadar pengundian kekal tinggi dan golongan ini keluar mengundi maka KEADILAN mencadangkan satu Insentif Demokrasi secara one-off kepada semua pengundi baru yang berumur antara 18 hingga 21 tahun.
“Juga kepada mereka yang sedang menuntut di IPTA/IPTS, politeknik, kolej komuniti dan institut latihan perindustrian. Insentif ini boleh mendorong mereka keluar mengundi serta mengurangkan kos pengangkutan mereka.
“KEADILAN meminta kerajaan peralihan sekarang untuk melaksanakan insentif tersebut secara adil, telus dan cekap,” katanya.