Razali terkilan PM tipu rakyat setelah bentang Bajet 2023


 

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Razali Idris terkilan kerana Perdana Menteri sendiri mengambil pendekatan menipu rakyat dengan sekadar melakukan pembentangan Bajet 2023 tetapi kemudian membubarkan Parlimen.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu itu menyifatkan Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat Jumaat lalu (7 Oktober) adalah manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) UMNO dan Barisan Nasional (BN)

“Saya juga rasa terkilan strategi beliau bentang Bajet 2023 yang sekadar pembentangan sahaja.

“Perdana Menteri sendiri ambil pendekatan menipu rakyat,” katanya mengulas pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti dilaporkan BeritaBersatu hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Parlimen ke-14 dibubarkan mulai hari ini (10 Oktober) setelah beliau mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pembubaran itu membolehkan PRU-15 diadakan dalam tempoh 60 hari yang bertepatan dengan musim tengkujuh di mana hujan lebat dan banjir akan berlaku, sekali gus menyukarkan pemilih untuk keluar membuang undi.

Namun, kesukaran pemilih untuk keluar mengundi itulah yang dicari oleh UMNO dan BN kerana ianya akan menyebabkan peratusan yang keluar mengundi akan rendah.

Berdasarkan dua Pilihan Raya Negeri iaitu di Johor dan Melaka, peratusan keluar mengundi yang rendah memberi peluang kepada UMNO dan BN untuk menang.

Jumaat lalu (7 Oktober), kerajaan pimpinan Ismail Sabri mendedahkan pelan perbelanjaan Persekutuan berjumlah RM372.340 bilion untuk tahun depan, mengatasi bajet tahun ini sebanyak RM40 bilion.

Dalam Bajet 2023, sebanyak RM94.3 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, yang tertinggi setakat ini, berbanding peruntukan untuk 2022 sebanyak RM71.2 bilion.

Mengulas lanjut, Razali berkata Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang terlalu lemah apabila ditekan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya PRU-15 dipercepatkan.

“Saya tidak nampak kemampuan beliau (Ismail Sabri) untuk mengurus satu perkara yang agak penting di mana negara berdepan situasi banjir.

“Jadi apa yang diperkatakan selama ini wayang sahaja,” katanya.