Jangan boikot pilihan raya, sebaiknya keluar mengundi, kata Fahmi

 

Shahrul Shahabudin
 -

Jangan boikot untuk mengundi kerana mgundi adalah hak rakyat untuk memilih pemimpin menerajui negara, kata Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil.

PETALING JAYA: Orang ramai diingatkan supaya tidak memboikot pilihan raya umum yang akan diadakan kerana mengundi adalah hak rakyat untuk memilih pemimpin mereka, kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga penyandang Parlimen Lembah Pantai membuat ciapan di Twitternya menggesa orang ramai supaya tidak memboikot pilihan raya berikutan terdapat beberapa ciapan dan hantaran di mesia sosial yang mengajak orang ramai memboikot pilihan raya.

“Boikot undi? Don’t (Jangan) Itu yang dimahukan mereka yang merosakkan sistem. Mereka mahu kita putus harap pada demokrasi, dan mahu kembali bermaharajalela.

“Undi kita, hak kita. Suara kita, kuasa kita!,” ciapnya.

Fahmi turut membuat satu hantaran video di Twitter menyeru orang ramai untuk keluar mengundi selain daripada menjelaskan mengenai Undi18 dan semakan tempat mengundi.

Sementara itu Fahmi ketka dihubungi FMT memberitahu, tindakannya itu dilakukan bagi memastikan pengundi tahu akan hak mereka.

“Ini lahir sebahagiannya daripada maklum balas yang saya dapat, orang yang dulu mengundi kali ini patah hati tak nak mengundi dan mereka yang langsung tak tahu mereka ada hak untuk mengundi,” katanya.

Fahmi turut mengingatkan pengundi untuk memanfaatkan hak mereka kerana setiap undi adalah bermakna bagi menjatuhkan kerajaan yang zalim mahupun menegakkan kerajaan yang zalim.

“Berikan satu signal yang jelas, libatkan diri dalam proses demokrasi dalam negara supaya Malaysia boleh menjadi lebih baik di masa depan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan selepas diperkenan oleh Yang di-pertuan Agong untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

No comments: