10,000-50,000 pengundi baharu di 190 kerusi Parlimen, SPR digesa lanjut tempoh kempen


Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor berkata, pelaksanaan inisiatif Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dan ke atas yang layak mengundi melebihi 5.8 juta orang.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa melanjutkan tempoh berkempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kerana pengundi baharu dijangka meningkat 10,000 hingga 50,000 orang di 190 kerusi Parlimen.

Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) berkata, pelaksanaan inisiatif Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dan ke atas yang layak mengundi melebihi 5.8 juta.

Ini menjadikan jumlah pengundi yang layak membuang undi pada PRU15 mencecah 21.1 juta orang.

Justeru, ia mencadangkan tempoh berkempen dilanjutkan kepada 21 hari, berbanding kebiasaannya sehingga 15 hari. Tempoh kempen paling singkat ialah tujuh setengah hari ketika PRU 2004.

“Dengan lanjutan tempoh kempen pilihan raya, ia membolehkan SPR membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi masalah lonjakan bilangan pengundi dan mengatur kakitangan yang munasabah di setiap kawasan mengundi,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pasukan polis juga boleh mengaturkan anggota secukupnya untuk memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar, selain pengundi di luar negara mempunyai lebih banyak masa untuk mengirim kertas undi mereka ke Malaysia.

Selain undi pos, KLSCAH menyarankan SPR mendirikan pusat pengundian khusus untuk pengundi dari luar daerah atau negeri, tanpa perlu mengeluarkan wang sendiri untuk pulang ke kampung halaman.

“Mekanisme mengundi luar kawasan ini akan menyelesaikan masalah pilihan raya nasional dan negeri tidak serentak dan menjimatkan kos serta masa perjalanan untuk membenarkan pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka ketika di luar kawasan tanpa pulang ke negeri masing-masing.”

Ia turut menggesa SPR mempertimbangkan pelaksanaan sistem e-Undi yang dilengkapi sistem keselamatan tinggi untuk pengundi di luar negara memuat turun undi mereka secara digital dari laman web suruhanjaya itu bagi memudahkan prosedur permohonan dan menjimatkan kos mencetak undi pos.

No comments: