Tanpa MoU Pakatan Harapan - Kerajaan Persekutuan, parlimen lebih cepat bubar

 

Pembubaran Parlimen selepas setahun sebulan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan merupakan kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam diplomasi yang membuahkan Memorandum Kerjasama (MoU) bersama Kerajaan Persekutuan.


Menurut Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Razeef Rakimin, tiada sebab untuk Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua mengeluarkan kenyataan semalam mendakwa MoU itu sebagai punca pembubaran Parlimen oleh PM.


"Saya mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua yang turut menyalahkan PH sebagai punca pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri.


"Pada saya kenyataan Loretto sangat mengelirukan dan jelas menunjukkan Warisan tidak "move on" dan masih berusaha untuk "brainwash" rakyat Sabah dengan kenyataan yang tidak benar.


"Keputusan PH menandatangani MoU sama sekali tidak mengikat pimpinan Pakatan Harapan untuk terus bersuara, membantah, membahas serta mengkritik sebarang tindakan salah dari pihak kerajaan termasuk Ismail Sabri di Parlimen.


"Malah banyak perkara telah terlaksana melalui memorandum persefahaman antaranya pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi, Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bermula dengan pengembalian status wilayah Sabah dan Sarawak.


"Antara sebab lain MoU antara PH dan Kerajaan dimeterai adalah bagi mengelak pilihan raya dalam tempoh satu tahun serta mengelak pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya agar kedua-dua pihak dapat fokus kepada fasa pemulihan serta pembangunan ekonomi pasca pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan.


Sebaliknya, menurut Razeef lagi, sekiranya Warisan menganggap menandatangani MoU sebagai penyebab pembubaran Parlimen maka parti itu sendiri telah membuat kesilapan lebih fatal pada 2020, apabila membubarkan DUN Sabah menyebabkan diadakan Pilihan Raya Negeri diadakan sehingga natijahnya wabak Covid 19 merebak ke seluruh negara.


"Ketika itu kita telah menasihati agar tidak membubarkan DUN kerana tindakan kerajaan Perikatan Nasional pada masa itu akan menyebabkan rakyat semakin membenci dan menolak Perikatan Nasional.


"Namun kerana Shafie takut kehilangan jawatan Ketua Menteri, akhirnya ramai rakyat kehilangan nyawa berpunca dari Covid-19 melalui pelbagai kluster yang berpunca dari PRN Sabah," katanya.


Tegas Razeef, segala tindakan PH amat mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat. Maka, katanya, tindakan Loretto menyalahkan Pakatan Harapan sangat tidak masuk akal dan hanya dilihat sebagai cubaan memburukkan PH menjelang PRU 15.

No comments: