PETALING JAYA: PKR sasar untuk merampas semula kerusi PKR yang dimenangi dan dikhianati oleh penyandang sebelum ini, kata presidennya Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, PKR akan meletakkan calon yang cukup wibawa untuk diketengahkan di kawasan yang sebelum ini dikhianati.
“Calon yang cukup wibawa. Calon calon yang diketengahkan di kawasan-kawasan khianat atau kawasan lain, ia bukan isu calon, orang yang berwibawa dan dasar yang jelas tapi orang khianat, tiada tempat di mana mana sejarah dalam dunia.
“Dalam dunia demokratik, orang akan tolak, tidak mungkin orang percaya orang yang khianat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Pakatan Harapan Pulau Pinang di Georgetown malam ini.
Sementara itu, ditanya PKR akan meletakkan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bertanding di kerusi Parlimen Ampang yang sebelum disandang bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang kemudian berpaling tadah, Anwar berkata perkara itu akan dipertimbangkan.
Bagaimanapun katanya, Izzah berkemungkinan besar diletakkan kekal bertanding di kerusi Permatang Pauh yang disandangnya sebelum ini.
“Kemungkinan besar (kekal Permatang Pauh), kemungkinan yang amat besar ke arah itu lah,” katanya.