Aminuddin jadi taruhan BN lawan Anwar, Peja di Tambun

 

Ketua Umno Tambun Aminuddin Md Hanafiah mungkin jadi taruhan BN
 untuk menentang Anwar Ibrahim dan Ahmad Faizal Azumu di Parlimen
 Tambun. (Gambar Facebook Umno Online)

PETALING JAYA: Ketua Umno bahagian Tambun Aminuddin Md Hanafiah dicadangkan Umno Perak untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang akan ditandingi dua calon heavyweight dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, Aminuddin bakal berdepan dengan Pengerusi PH yang juga Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

“Untuk calon BN di Parlimen Tambun, nama yang dicadangkan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri ialah Datuk Aminuddin iaitu ketua Umno bahagian (Tambun) yang juga setiausaha perhubungan Umno negeri,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Aminuddin adalah bekas ADUN Hulu Kinta yang kalah kepada calon PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad pada PRU14.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan percubaan PH untuk menawan Perak pada PRU15 apabila mempertaruhkan Anwar bertanding di Parlimen Tambun.

Menurutnya, sebagai negara demokrasi, tentunya mana-mana calon yang ingin bertanding, bebas untuk bertanding, sama ada seseorang itu ahli biasa atau pun presiden sesebuah parti.

“Perak adalah tempat, kubu kuat BN, namun, kalau mana-mana parti mahu mencuba, kita mengalu-alukannya percubaannya,” katanya.

Pada Konvensyen PH di Ipoh kelmarin, Anwar mengumumkan akan bertanding di Parlimen Tambun dan akan menentang Faizal yang juga penyandang kerusi Parlimen itu.

Anwar dilaporkan berkata, beliau bertanding dengan keyakinan untuk merampas Parlimen Tambun dan negeri Perak.

Mengenai Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman yang digantung keahlian dalam Umno, Zahid berkata, sama ada bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi itu akan bertanding pada PRU15 atau sebaliknya, akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilih parti untuk membuat keputusan.

“Begitu juga Khairy Jamaluddin (Ahli Parlimen Rembau), saya serahkan kepada Jawatankuasa Pemilih parti,” katanya.

Sebelum ini Khairy mengesahkan beliau tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau selepas diarah mengosongkannya oleh Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, yang mahu bertanding di kerusi itu.

Namun, setakat ini Khairy mengakui beliau belum ada kawasan yang akan ditandingi pada PRU15.