Faekah
tampil tolak fitnah Anwar tuntut elaun RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi
Selangor
By BORHAN AHMAD / October 23, 2022
Bekas pegawai kanan
kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin
menolak fitnah kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tuntutan lebih RM15
juta dari kerajaan negeri walaupun gajinya hanya RM1 setahun.
Dalam penjelasannya
Faekah melampirkan jawapan rasmi Tan Sri Khalid ketika menjadi Menteri Besar
Selangor bahawa Anwar selaku Penasihat Ekonomi kerajaan negeri hanya menerima
gaji RM1 setahun sahaja.
“Penasihat Ekonomi hanya
diberikan gaji simbolik RM1 setahun. Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau
sejak tarikh perlantikan.
“Beliau
tidak dibayar apa-apa elaun atau keistimewaan lain selain gaji RM1 itu,” kata
jawapan menteri besar yang dikepilkan oleh Faekah bagi menjawab satu soalan
dalam Dewan Negeri Selangor.
Menurut
Faekah, beliau menerima poster kitar semula kononnya Anwar membuat tuntutan
elaun RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor walaupun
gaji yang dimintanya hanya RM1 sebulan.
Poster
ini disebarkan dan dibuat penambahbaikan ekoran janji Anwar mahu memotong gaji
perdana menteri jika beliau terpilih memegang jawatan itu selepas PRU-15 ini.
“Sejujurnya pada mulanya saya tidak
mahu terlibat dengan propaganda sedemikian dan mahu mendiamkan diri meskipun
muka saya terpapar pada poster tersebut dengan tujuan kononnya saya yang
mengeluarkan kenyataan.
“Isu
tersebut telah dijawab berulang kali namun ianya dipetik dan dikitar semula,”
katanya.
Namun
atas nasihat keluarga, teman-teman dan atas kesedaran beliau bahawa
setidak-setidaknya beliau perlu membetulkan sesuatu fakta yang salah maka
beliau menggunakan ruangan ini sebagai usaha pencerahan.
“Seingat
saya poster ini dibuat dan diviralkan oleh individu atau mungkin sekumpulan
manusia yang tidak dikenali pada tahun 2013/2014 rentetan dari gerakan Langkah
Kajang.
“Maksud
dan tujuan ianya dilakukan tidak di dalam pengetahuan saya. Saya sendiri tidak
pernah membuat kenyataan seperti tertera pada poster,” katanya.
Kesan
dari poster ini, katanya, Pejabat MB telah menerima banyak pertanyaan berkaitan
gaji dan elaun Penasihat Ekonomi Selangor.
Tidak terkecuali juga pertanyaan
yang dikemukakan di DUN Selangor pada ketika itu, katanya.
“Demi
memberi keadilan dan melakukan pencerahan saya screen shot dan lampirkan di
sini soalan dan jawapan yang dibentangkan oleh Menteri Besar di DUN Selangor
pada ketika itu.
“Semoga
ianya memberi manfaat,” kata Faekah menerusi facebook beliau hari ini.